Pelamin Anganku Musnah: sebuah kisah benar

(Catatan ini ditulis Anakanda Rafidah A.Ghani, pertama kali terpapar di Kemsas; disiar semula sebagai kesungguhan kita menikmati makna sebuah kehidupan anugerah Ilahi yang jarang sekali diberikan kepada semua manusia.)

Dalam hidup ini sesungguhnya terlalu banyak tabir rahsia yang kekadang terlalu lama kita ketemukan jawabannya. Sering kita bertanya pada diri, pada angin lalu yang berhembus atau pada rembulan di puncak cakerawala persoalan demi persoalan. Aku pernah bertanya pada suatu senja di pelabuhan, bilakah gerangan aku akan jatuh cinta. Bilakah detiknya seru jodohku akan menghampir mengetuk pintu hati yang telah bertahun kesepian. Pencarian demi pencarian kulewati dari satu persimpangan ke satu persimpangan lain.Berbagai wajah yang kutemui, kukenal ragam dan tingkahnya namun sia-sia semua pertemuan itu hanya sekadar di pinggiran. Hinggalah akhirnya aku menemui cintaku dalam cara yang paling manis.

Dia yang kukenal sesungguhnya 14 tahun lebih dewasa dariku. Dia yang kukenal sesungguhnya 14 tahun lebih awal dilahirkan daripadaku. Hanya kerana sebuah karyaku yang terbit di akhbar tempatan maka ikatan demi ikatan pun bermula. Dari biodata yang kulampirkan di sisi karya ternyata rupanya ia adalah tali jodoh buatku. Dia menjejakiku melalui alamat yang kulampirkan merentasi puncak kimanis yang begitu mengujakan. Ternyata kami berkongsi hari lahir Cuma tahunnya sahaja yang berbeza. Pertemuan pertama itu seterusnya membuahkan pertemuan kedua dan akhirnya kami sepakat untuk mengikat tali pertunangan. Tanggal 31 Mei 2008 mentari pun tersenyum riang saat cincin pertunangan tersemat di jari.

Sesungguhnya aku pernah ada impian manis untuk menjadi puteri yang berbahagia di atas singgahsananya saat disatukan dengan putera pilihan hati. Aku pernah memiliki sebuah angan-angan indah untuk disandingkan di atas pelamin yang cantik dan menarik. Aku pingin duduk anggun dan santun mendengar palu kompang. Aku ingin majlis perkahwinanku meriah walau sederhana. Untuk itu, bukan saja aku malah seluruh jurai keluarga berusaha melakukan yang terbaik memandangkan inilah perkahwinan pertama dalam keluarga. Seminggu sebelum majlis gemilang itu berlangsung, kelihatan langit cerah, awan berarak tanpa membawa kabar musibah dan angin berhembus seperti tiada menyimpan apa-apa rahsia.

Sehari sebelum majlis pernikahanku, hujan turun tanpa diduga. Lebat, deras dan tanpa henti hingga mengundang amukan sungai Padas. Bermulalah hari pertarunganku dengan alam. Hujan tetap lebat dan lebat hingga secara mendadak air sungai padas mencapai tahap bahaya. Tuhan hentikanlah hujan ini dan berikanlah aku satu keajaiban kerana esok adalah hari pernikahanku. Doaku tidak pernah putus malam itu dan rintik hujan tetap kuat mengeluarkan air matanya.

14.mac 2009, akhirnya detik itu muncul juga. Detik pernikahan yang sudah sekian tahun kunanti kehadirannya. Tepat jam 2 petang tok kadi yang akan menikahkan aku dengan bakal suami tidak juga muncul. Rupanya jalan perhubungan ke pekan Tenom telah benar-benar terputus gara-gara banjir. Lalu, tok kadi tersebut terpaksa dijemput menggunakan bot. Ketika tok kadi sampai, bajunya lencun dengan air banjir dan manik-manik peluh di dahi. Hanya tuhan saja yang tahu perasaanku ketika itu. Kak Long ku dari Tambunan, Abang Long dari Tawau dan Abang Ngah di Kota- Kinabalu tidak juga muncul-muncul. Aku ingin benar menangis saat itu. Namun entah mengapa hanya duka bercempara tanpa air mata.

Selesai diijabkabulkan aku segera menukar baju dan memujuk suami yang baru beberapa minit menikahiku agar membawa aku melihat air banjir. Aku sekadar ingin melihat sejauh mana Sungai padas menghantar kesedihan itu kepadaku. Kami pun melalui jalan-jalan kampung yang sepi dan sunyi. Ketika sampai di jalan batu 2 perjalanan tersekat dek air bah yang mengalir deras. Seperti sebuah perarakan berpuluh-puluh buah kereta terasdai di tepi jalan dengan wajah yang lainnya muram. Aku tahu di hujung air bah itu berdirinya tiga orang saudara kandungku dengan mata beku memandang sebuah bencana yang tak diduga. Kami tidak dapat berdakapan sekadar masing-masing menggeleng kepala.

Aku tidak memaksa tiga orang saudaraku itu untuk meneruskan perjalanan pulang ke kampung. Aku tidak marah bila melihat mereka berpatah menuju kembali Ke Pekan Tenom. Mereka sempat menghantar sms, malam ini mereka menginap di hotel perkasa. Insyallah, bila air surut besok mereka akan segera pulang melihat persandinganku. Namun aku menerima lagi sebuah berita malang pekan Tenom dinaiki air hingga menyebabkan berlakunya tanah runtuh di kawasan Hotel Perkasa tempat saudara-saudara kandungku menginap. Akhirnya mereka mengambil keputusan meninggalkan pekan Tenom menuju Kota Kinabalu kerana sepertinya sudah tidak ada lagi tempat yang selamat di daerah ini.

Aku pulang ke rumah dengan rasa sesak dan terseksa. Beberapa minit setibanya di rumah, berlaku pula tanah runtuh di jalan batu 6 hingga menyebabkan jalan raya terputus. Aku tetap ingin melihat di depan mata sendiri kejadian demi kejadian itu. Suami yang begitu taat membawa aku melihat alam yang memberontak. Ya Allah ujian apakah lagi yang kau kirim ini. Aku mohon Ya Allah apa pun ujian yang Engkau berikan sertakanlah dengan ketabahan agar aku kuat menghadapi semuanya. Tanah runtuh di depan mataku ini kelihatan seperti sebuah rumah banglo dua tingkat yang begitu perkasa betul-betul di tengah jalan raya. Kata beberapa orang, untuk mengalihkan tanah sebesar ini memakan masa berhari-hari. Lalu terputuslah hubungan penduduk Kg Saga dan sekitarnya dengan Pekan Tenom.

Lebih memburukkkan keadaan, bekalan elektrik dan telefon terputus. Air banjir semakin deras mengalir. Malam berzanzi kunantikan majlis itu dengan penuh debar dan harapan. Lapan malam berlalu namun tiada seorang pun yang hadir untuk majlis itu. Aku maklum mereka masing-masing menyelamatkan diri. Akhirnya jam 9.30 malam dari jauh kulihat suluhan pelita. Beberapa orang kampung datang dengan memakai baju hujan dan berakit. "Kita teruskan saja majlisnya dik" Kata abang Aslam Bujing yang sudah kuanggap seperti abang kandungku sendiri. Kerana bekalan elektrik terputus, maka majlis itu berlangsung dengan cahaya lilin.

Belum pun selesai majlis, tiba-tiba kawasan rumahku yang boleh dikatakan tinggi dinaiki air. Suara orang berteriakan menyelamatkan diri tanpa mempedulikan lagi sepasang mempelai di atas singgahsana. Air berwarna coklat naik dan terus naik hingga pelaminku direbus bersama hatiku yang nanar. Hancur semuanya. Bunga-bunga telurku hanyut dan bersangkutan di atas kayu-kayu balak yang melintasi halaman. Luluh hatiku melihat papa dan mama yang berendam dengan air banjir semata- mata untuk menyelamatkan barang รข€“ barang dari hanyut. Aku tetap tidak menangis kerana sepertinya kecewa yang terlalu dalam ini menenggelamkan tangisanku.

Aku pernah berangan-angan untuk dipasangkan inai di jari dan di lumur bedak pada seluruh badan. Namun semua itu tidak kunikmati seperti pengantin lain. Tepat jam 12 malam ketika aku pura-pura lena, suami membangunkan tidurku.

"Yang, mari kita berinai." Aku bangun dan suamiku yang terkasih itu memakaikan inai dijari ini. Kami berinai untuk diri sendiri berteman lilin. Hinggalah seorang tua bernama Mak Yam melihat kami dia pun menangis dan membetulkan inai-inai yang tidak begitu cantik kedudukannya. Anak-anak buahku Gg, Doremon dan Kimi hingga subuh menemani kami. Terima kasih, kalian adalah anak-anak yang baik.

15. mac hari persandinganku muram. Pelamin yang kelihatan comot akibat direbus air banjir dipasang juga. Aku bersanding dengan disaksikan tidak sampai 2o orang. Lauk pauk yang lebih dihantar ke pusat pemindahan. Kek kahwin yang kutempah tidak dapat diambil kerana terputus perhubungan dengan pekan Tenom.Begitu tragisnya perkahwinanku hingga ke saat ini pun aku masih merasai sakitnya. Tapi aku yakin setiap yang berlaju ada hikmahnya. Allah tidak akan menguji umatnya melebih dari tahap kemampuan mereka. Aku yakin dengan itu.

Setelah air surut, kami menghabiskan sisa cuti di Ranau. Tiba-tiba ada panggilan telefon yang meminta kami segera pulang ke Kota- Kinabalu. Rakan setugas Suamiku di CIMB cawangan Inanam membuat satu kejutan. Mereka merayakan majlis perkahwinan kami di Shangrila Tanjung Aru Resort. Dengan cahaya neon, lagu-lagu instrumental, ucapan-ucapan tahniah dan hadiah membuat aku terkesima. Wah, siapa sangka ada juga insan yang sudi memberikan hadiah yang begitu mahal harganya. Lihatlah begitu agung dan adilnya Allah. Majlis perkahwinanku di Tenom hancur tapi Dia menggantikan dengan majlis lain yang tidak pernah aku bayangkan dalam diari hidup.

Kemudian pada 29 mac majlis perkahwinanku di sebelah pihak suami berlangsung di kampung Darau Menggatal. Terima kasih untuk kakak dan abang iparku yang ternyata berusaha memberikan yang terbaik sebagai merawat dukaku. Walaupun sederhana tanpa muzik kerana sepupu suamiku baru juga meninggal, namun segalanya berjalan lancar. Terima kasih juga untuk ayah Ha dan adik yang hadir memberikan aku sebuah buku puisi yang mengucapkan tentang semangat.

Bila difikirkan kembali, aku tau Allah sengaja memilih aku untuk menikmati sebuah majlis perkahwinan yang dilanda banjir. Aku orang istemewa kerana dalam seribu barangkali Cuma seorang dua yang menikmati detik-detik sebegini. Allah mahu aku merasai semua suasana. Suasana duka ketika air bah melimpah, suasana riang ria berada di Shangrilla Resort dan suasana kekeluargaan di kampung Darau. Bila difikirkan kembali, apa yang aku rasakan ini bukan apa-apa. Ada lagi orang lain yang ternyata begitu hebat diuji. Benar ada lagi yang begitu hebat diuji.

15 mac pelamin anganku musnah. Namun pada detik itu juga Sungai Meligan Sipitang menghantar bala tenteranya hingga seorang remaja berusia 19 tahun hilang dibawa arus. Seluruh warga kampung bergotong royong mencari remaja malang itu. Akhirnya beberapa hari kemudian misteri kehilangan gadis remaja itu terjawab. Mendiang Caroline menjadi mangsa amukan Sungai Meligan. Nah, aku Cuma kehilangan pelamin anganku, sedang mereka kehilangan orang yang paling dikasihi.

Aku akan sentiasa percaya bahawa sesungguhnya setiap yang berlaku walau bagaimana pun buruknya ia, ia tetap mengandungi hikmah. Harus redha dalam menghadapi ujian Allah. Apabila sampai ke tahap itu, kita akan merasa nikmatnya tanpa ada rasa sesal dan kecewa.

Terima kasih pada ayah bonda yang mengasihi dan merestui pilihanku. Terima kasih kepada abang dan kakak yang memberikan aku semangat saat aku lemah. Terima kasih untuk suami tercinta yang selalu memujuk ketika aku merajuk dan memberikan aku ruang untuk mengenali diriku. Terima kasih untuk seluruh warga kampung Saga Laut, Batu- Batu, Karangan Baru dan Darau yang selalu ada saat aku ketawa dan menangis. Terima kasih pada hari kelmarin yang membuka pintu peristiwa untuk aku memahami gelora hidup manusia. Terima kasih untuk segalanya.

Percayalah catatan ini benar belaka.

SMK Sepulut Nabawan
Pensiangan, Sabah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan