Proses membuktikan amalan sihir mesti jelas

Oleh Mohamad Isa Abd Ralip

AMALAN sihir dalam melakukan kegiatan jenayah dilihat semakin meruncing dalam masyarakat masa kini dan seterusnya membuka mata banyak pihak betapa serius perkara ini dan memerlukan penyelesaian segera. Penggunaan istilah sihir dalam alam Melayu kebiasaannya merujuk kepada ilmu hitam.

Sihir yang diamalkan dikategorikan kepada beberapa bahagian iaitu bagi tujuan melindung diri, mendapatkan kelebihan, mengawal dan memusnahkan musuh serta meramal masa hadapan. Sihir yang diamalkan boleh dikelaskan menurut beberapa kelompok seperti saka yang menggunakan jin atau syaitan (kadam, toyol, roh orang mati, hantu), azimat dan menggunakan jampi serapah.

Malah amalan sihir ini turut berlaku di dalam perbicaraan kes kekeluargaan di Mahkamah Syariah dan kesannya sihir boleh menghasilkan natijah luar biasa, menarik, mengelirukan dan kadangkala berupaya mengatasi masalah manusia selepas pelbagai ikhtiar dilakukan. Amalan sihir ini terus diamalkan secara tersembunyi atau terang-terangan seolah-olah ia tidak bertentangan dengan ajaran Islam, apatah lagi usaha untuk menghalangnya seumpama tidak wujud dan jelas.

Amalan itu berleluasa kerana tiada undang-undang yang diperuntukkan bagi mengekang masalah ini seterusnya tiada sebarang tindakan boleh dikenakan terhadap orang yang menggunakan sihir dan pengamalnya. Oleh itu, cadangan yang dikemukakan pada `Muzakarah Pakar: Bentuk Sihir Pengasih dan Metodologi Diagnosis anjuran Jabatan Mufti Selangor, baru-baru adalah sesuatu yang boleh diterima dan diperhalusi. Namun begitu, kajian menyeluruh dengan pakar dalam bidang ini amatlah dialu-alukan bagi mendapatkan penyelesaian yang sewajarnya.

Penggubalan undang-undang berkaitan sihir ini adalah suatu yang mendatangkan kebaikan kerana ia dapat mengekang amalan sihir ini daripada berterusan dan digunakan sewenang-wenangnya dalam masyarakat.

Namun begitu, apa yang menjadi persoalan sekarang ialah bagaimana melalui peruntukan undang-undang ini dapat membuktikan ama lan sihir itu berlaku sedangkan amalan sihir adalah suatu yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar dan bersifat abstrak. Dalam hal ini, pandangan pakar amatlah perlu bagi membantu hakim dalam membuat keputusan.

Firman Allah maksudnya, "Oleh itu, bertanyalah kepada orang-orang yang berpengetahuan jika kamu tidak mengetahuinya" (Al-Nahl:42).

Ayat itu menyarankan kepada kita agar bertanya kepada orang yang mengetahuinya. Inilah yang dikatakan meminta pendapat "ra'yu al-khabir" di dalam prinsip Undang-undang Keterangan Islam.

Persoalan lain pula akan timbul iaitu siapakah pakar-pakar berkenaan? Siapa yang akan menentukan bahawa mereka adalah pakar? Adakah wujud badan yang pakar dalam hal itu?

Antara kes yang boleh dirujuk adalah kes Mustafa Batcha lwn Habeba Abd Rahman di dalam kes cerai talak tiga yang mana perayu mendakwa bahawa beliau pada ketika itu tidak tahu apa yang dilakukannya kerana terkena sihir, ada barang sihir dan hanya sihat setelah mendapat rawatan daripada dukun.

Ia perbuatan yang dikeji di dalam hukum Islam. Perayu menyatakan bahawa selepas beliau ke kantin di sebuah kilang, fikirannya tidak tenteram, selalu bergaduh dan marah pada isterinya, timbul rasa benci dan memukul isterinya dan beliau sendiri tidak mengetahuinya. Dalam pada itu, perayu dengan tidak sedar diri telah membuat aduan kepada pihak berkenaan untuk menceraikan isterinya. Perayu mendapati bungkusan kain putih di dalam kantin itu dan beliau berusaha berubat cara kampung. Menurut orang yang mengubatinya (dukun), beliau terkena sihir kerana berjaya mendapatkan kantin itu.

Berdasarkan rekod perbicaraan, hakim memutuskan hukumannya berdasarkan kepada ikrar yang dibuat oleh perayu yang ia sudah menceraikan isterinya dengan talak tiga. Walaupun ikrar adalah salah satu cara pembuktian yang terkuat dalam hukum syarak tetapi sebelum ikrar itu diterima ia hendaklah dipastikan ia dilakukan secara mutlak tanpa syarat, ikatan atau kait mengait dengan perkara lain. Jika ia dikaitkan dengan perkara lain dan tidak mutlak sebagaimana ulama berpendapat bahawa ikrar itu tidak sah.

Kes di atas adalah antara contoh kes kekeluargaan yang membabitkan sihir yang dilaporkan. Situasi sebenar yang dapat kita lihat di dalam kes amalan sihir adalah rumit dan memerlukan penelitian yang khusus terutama daripada hakim yang akan membuat keputusan memandangkan tiada peruntukan undang-undang yang khusus bagi menangani masalah yang membabitkan sihir.

Saranan paling tepat adalah kes itu didengar dan dibicarakan sewajarnya dengan memanggil saksi untuk memberikan keterangan, pendapat "ra'yu al-khabir" sama ada benar atau tidak sihir digunakan dengan membincangkan latar belakang, suasana dan keadaan kes yang diikrarkan.

Peruntukan undang-undang berkaitan sihir ini perlu diwujudkan di dalam Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah bagi mengekang masalah ini daripada terus berleluasa. Sekiranya tiada peruntukan undang-undang berkenaan, ia akan membolehkan individu, bomoh atau penjenayah yang mengamalkan ilmu sihir dan melakukan jenayah serta menganiayai orang lain terlepas daripada hukuman kerana tiada peruntukan undang-undang.

Perjumpaan antara pengamal undang-undang, ahli agama, ahli akademik dan badan tertentu penting bagi membincangkan penyelesaian kepada masalah ini seterusnya boleh diusul dan dibahaskan dengan terperinci pada peringkat Jawatankuasa Muzakarah Fatwa Kebangsaan kerana membabitkan isu nasional dan akidah umat Islam.

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM).

Berita Harian Online

1 ulasan:

  1. ya allah kau tunjukkan lah bahawasanya engkau saja yang berkuasa tiada lain selain dari MU

    BalasPadam