Oleh Khairul Azhar Idris
Penerapan nilai murni ditunjangi iman, takwa penting untuk peningkatan rohaniUSAHA mempromosi kesihatan mental biasanya dikaitkan dengan Kementerian Kesihatan. Pada peringkat antarabangsa usaha advokasi dan promosi rawatan serta penjagaan kesihatan mental dipelopori Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Memandangkan pentingnya segala maklumat kesihatan mental ini sampai kepada seluruh masyarakat dunia, maka 10 Oktober setiap tahun dijadikan sebagai Hari Kesihatan Mental Sedunia oleh Persekutuan Kesihatan Mental Sedunia (WFMH).
Pada tahun ini, sambutan bertema `Kesihatan Mental dalam Penjagaan Utama: Mengukuhkan Rawatan dan Promosi Kesihatan Mental`. Antara lain matlamat sambutan ini adalah bagi meningkatkan kesedaran awam berhubung pentingnya mendapatkan rawatan dan penjagaan sempurna untuk memelihara kesejahteraan mental sepanjang masa. Malaysia juga tidak ketinggalan untuk turut serta dalam menjayakan usaha yang murni ini agar dapat dikecapi oleh setiap penduduknya demi memelihara kesejahteraan mental mereka.
Begitu juga, secara umumnya, sama ada disedari atau tidak, dalam usaha memelihara atau meningkatkan kesejahteraan mental pada setiap masa, Islam menyediakan pelbagai pendekatan, teknik tertentu bagi tujuan itu. Ia bermula dari tasawwur atau bagaimana Islam menggambarkan konsep kehidupan. Ini diikuti pula dengan penerapan nilai murni yang ditunjangi keimanan dan ketakwaan, selain dikukuhkan lagi dengan beberapa amalan ritual yang dilihat sebagai teknik tertentu ke arah peningkatan kesihatan mental.
Islam melihat dunia sebagai satu pangkalan sementara saja sifatnya, di mana ia menyediakan pelbagai sumber dan peluang sebelum perjalanan lanjut diteruskan. Pandangan Islam terhadap dunia adalah sebagai tempat untuk umatnya bersedia dengan amalan-amalan yang boleh menyelamatkan dirinya dan ahli-ahlinya dalam perjalanan menuju ke alam akhirat yang lebih sempurna kelak.
Dunia turut dilihat sebagai satu gelanggang yang sarat dengan segala macam ujian, untuk menilai siapa antara mereka yang mampu melepasinya. Konsep ini amat berbeza dengan pandangan sekularisme yang menilai dunia sebagai syurga, manakala kehidupan selepas kematian dicanang sebagai kepalsuan.
Akibatnya, dunia dilihat sebagai lubuk kemewahan atau tempat membina kekayaan tanpa had. Namun, tidak semua manusia itu mampu mengaut kemewahan sepanjang masa, kerana kehidupan dunia diibaratkan seperti roda. Lantaran itu, kegagalan yang melanda diiringi dengan rasa kekecewaan, kebimbangan, dan putus asa yang berakhir dengan kekesalan, kemurungan dan bunuh diri. Amat menakutkan apabila statistik negara menunjukkan kadar bunuh diri yang meningkat antara sembilan hingga 12 orang bagi setiap 100,000 populasi sejak kebelakangan ini berbanding lapan orang sekitar lewat 80-an.
Terdapat segelintir manusia yang lalai dan hanyut lantas menjadi rakus, lalu terlepas peluang dan segala sumber untuk menyiapkan diri dengan bekalan itu yang akhirnya merugikan diri apabila memasuki alam akhirat. Akibat situasi ini, muncul pelbagai tanda gejala yang berpunca dari kelalaian dan kerakusan sikap mereka sendiri, yang turut mengakibatkan beberapa tanda gejala gangguan kejiwaan seperti tekanan mental atau stres dan keresahan serta kebimbangan.
Malahan memang tidak dapat dinafikan bahawa kebimbangan dan kerisauan itu tanda gejala utama gangguan mental. Penghidap skizofrenia umpamanya, mereka turut mengalami tahap kebimbangan kronik. Begitu juga, pemikiran risau secara melampau yang tidak berasas pula menjadi simptom utama penyakit mental seperti fobia dan gangguan panik.
Bagi mencegah gangguan mental yang berpunca dari tahap kebimbangan melampau ini, Islam mengutamakan nilai-nilai murni yang ditunjangi oleh rasa keimanan dan ketakwaan (Surah An-Nahl: 97). Di peringkat individu, Islam mendidik mereka supaya sentiasa sabar dan reda dengan kehidupan serta mampu menilai ujian sebagai penghapus dosa dan peningkatan keimanan. Amalan ini akhirnya akan menghilangkan rasa kecewa dan putus asa mereka. Malah mereka akan diberi ganjaran pahala pula kerana sentiasa sabar dan reda dengan segala bentuk ujian yang diberi.
Pemikiran risau yang membelenggu juga boleh dihapuskan jika amalan solat, membaca al-Quran dan berzikir itu dihayati sepenuhnya (Surah Ar-Ra`d : 28). Ketika melakukan aktiviti berkenaan, pemikiran telah difokuskan ke arah aktiviti yang berkecuali dan positif saja, manakala rasa risau dan bimbang dapat dikurangkan. Kajian sains turut membuktikan bahawa pemikiran positif dan tenang seperti ini mampu menstabilkan imbangan cecair otak manusia seperti serotonin, dopamin dan endorfin, yang sering kali didapati terjejas di kalangan pesakit jiwa. Malah kerana aktiviti itu, mereka berasa puas dan gembira pula lantaran diberi ganjaran pahala dan peningkatan kedudukan sebagai seorang mukmin dan pastinya syurga yang menanti mereka atas amalan yang penuh keikhlasan ini.
Penulis ialah felo Institut Kefahaman Islam Malaysia
Berita Harian Online
Tiada ulasan:
Catat Ulasan