MASA DEPAN PAS MENURUT ACUAN ALLAH - PRESIDEN PAS

WACANA yang dijadikan sebagai medium kempen dan penonjolan calon tertentu pemilihan sesi 2015-2017 mewarnai pra Muktamar Tahunan PAS Kali ke-61. Keghairahan tersebut menyaksikan soal nasib dan takdir berkait masa depan PAS dan gambaran PAS di masa depan menjadi tema perbicaraan. Malah turut dikemukakan agenda politik baru dengan menghambat perspektif peluang, harapan dan cabaran.

Namun, PAS sebagai PARTI politik Gerakan Islam hakikatnya terikat dengan ketetapan yang telah ditentukan oleh Allah SWT. Ikuti pembentangan penuh pencerahan dari Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang membicarakan tema seumpama yang dipandukan beliau dengan dalil al-Quran, hadis serta kebijaksanaan dan pengalamannya mendakap realiti politik hari ini.

Pergantungan Kepada Allah

Menurut beliau, PAS sebagaiPARTI dan jamaah Islam wajib meletakkan harapan kepada Allah SWT kerana kemenangan perjuangan Islam itu adalah kurniaan daripada Allah.

Pun begitu katanya, tidak dinafikan juga betapa perlu akan kekuatan diri dan jamaah, keahlian ramai, pentadbiran tersusun, keupayaan kewangan, tahaluf siyasi dan persefahaman dengan banyak pihak.

“Tidak dinafikan kita boleh menang dengan kelemahan lawan kita, tetapi itu hanyalah perkara-perkara sampingan yang tidak boleh ditaruh harapan untuk mencapai kemenangan.

“Allah SWT telah mendidik generasi awal Islam, bahawa pergantungan kepada ramainya pengikut, kekuatan diri pada zahirnya yang dibanggakan, tidak boleh memberi kemenangan kalau tidak mendapat pertolongan Allah,” terang beliau mengaitkan hal itu dengan peristiwa Uhud dan Hunain.

Malah katanya, Allah mengajar kemenangan Islam di Andalus hasil daripada kelemahan musuh, namun kemenangan itu kemudiannya ditenggelamkan oleh Allah SWT sehingga tidak bangkit lagi sampai ke hari ini.

Oleh itu, beliau mengajak supaya memahami perkara tersebut sebagai harapan sebagaimana janji yang dinyatakan Allah SWT dalam ayat 55 surah an-Nur

“Allah berjanji kepada orang-orang beriman dan mengerjakan amal soleh daripada kamu bahawa Dia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang kurniakan kuasa memerintah di atas muka bumi. Sebagaimana Dia jadikan orang-orang sebelum mereka kahlifah-khalifah yang berkuasa. Dan Dia akan menguatkan dan mengembangkan agama Islam yang telah diredhai-Nya untuk mereka; dan Dia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan. Mereka terus beribadat kepada-Ku dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain dengan-Ku. Dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka.”


Memenuhi Syarat Kelayakan

Ujar Tuan Guru, Allah menjanjikan harapan itu dicapai sekiranya para pejuang Islam menunaikan syarat dengan memenuhi kelayakan untuk ‘menerima kemenangan dan mengisi kemenangan’.

Syarat pertama katanya, mestilah ada kumpulan di kalangan orang beriman yang menyambung risalah dibawa oleh Nabi Muhammad SAW.

“Iaitulah mereka yang menegakkan Islam sepenuhnya di dalam diri, keluarga, masyarakat sehingga mendirikan kerajaan yang mendaulatkan syariat Allah SWT. Di atas asas inilah ditubuhkanPARTI Islam Se-Malaysia (PAS).

“Kewajipan kita adalah mengisi jamaah ini dengan syarat-syarat dikehendaki oleh Allah SWT yang dijanjikan kemenangan. Kemenangan dunia dan kemenangan di hari akhirat.

“Kemenangan dunia berjaya mendirikan kerajaan yang mendaulatkan syariat Allah SWT. Kemenangan akhirat syurga yang kekal abadi dan inilah kemenangan paling besar,” jelas beliau.

Oleh kerana itu katanya, Allah mensyaratkan harga bayaran yang mahal ditunaikan, kerana natijah dijanjikan Allah bagi memenuhi harapan itu juga sesuatu sangat mahal harganya.

Ujarnya, Allah tidak menghendaki harga itu dibayar dengan dunia dan isinya, tetapi dibayar mengikut kemampuan pada diri pejuang Islam dengan izin Allah SWT.

Menurut beliau, Allah telah mengajar generasi awal Islam menghadapi peristiwa Uhud dengan jumlah tentera Islam lebih besar dan lebih bersemangat daripada Badar, lantaran Badar itu dimenangi setelah keanggotaan yang sedikit mengalahkan musuh lebih ramai.

“Apabila mereka melanggar syarat, tidak mentaati Allah dan Rasul, Allah mengajar mereka dimusnahkan dengan ujian-Nya. Perjuangan tidak musnah tetapi ada yang mati dan ada yang luka untuk mengajar dan mendidik mereka,” ujar Tuan Guru.

Beliau memetik pengajaran ayat 25 surah at-Taubah berkenaan peristiwa Hunain di mana tentera Islam berjumlah lebih 10,000 merasa sombong dengan jumlah mereka hingga kemudiannya mereka bertempiaran lari.

Tegasnya, dengan sebab itulah harapan kepada Allah adalah penting dan tidak patut diputuskan sekali-kali dalam keghairahan mendapat banyak kebendaan atau pengikut yang ramai.

Sempadan Bertahaluf

Tuan Guru turut memetik mengenai tahaluf sebagaimana berlaku dalam peristiwa Ahzab melibatkan orang Yahudi yang telah memeterai Perjanjian Madinah dengan Rasulullah SAW.

Dalam masa sama katanya, wujud golongan munafiqin yang mengambil kesempatan; menjadi duri dalam daging dan gunting dalam lipatan di mana mereka juga meramaikan jamaah masjid.

“Apabila Allah menguji peristiwa Ahzab, kemenangan tidak boleh dicapai dengan mudah. Kemenangan memerlukan ujian. Maka, mereka yang bertahaluf ini tidak berjaya dalam ujiannya. Disingkirkan oleh Allah dan orang Islam mesti menyingkirnya.

“Tidak boleh menggantungkan harapan kepada rakan-rakan tahaluf untuk mencapai kemenangan. Nabi bertahaluf dengan Khuzaah, bertahaluf dengan Bani Khuraizah, Bani Nadhir, Bani Qainuqa’ dan berbagai-bagai kabilah Arab.

“Khuza’ah kekal di dalam tahaluf sehingga masuk Islam. Ada yang kekal dalam tahaluf tak masuk Islam. Berada di bawah Kerajaan Islam. Ada yang menunjuk sifat-sifat yang negatif kepada perjuangan Islam. Mereka disokong oleh orang-orang munafiq yang ada dalam kumpulan Islam,” terang beliau.

Allah memberi peringatan:
“Khabarkanlah kepada orang-orang munafiq bahwa mereka akan mendapatkan siksaan yang pedih, (iaitu) orang-orang yang mengambil orang-orang kafir menjadi teman-teman penolong dengan meninggalkan orang-orang mukmin. Apakah mereka mencari kekuatan di samping orang-orang kafir itu? Maka sesungguhnya semua kekuatan kepunyaan Allah.” (an-Nisa: 138-139)

Menurut Tuan Guru, Allah SWT mendedahkan di dalam al-Quran kedapatan mereka yang menganjur majlis al-Quran, tetapi bukan untuk percaya dengan ayat al-Quran, sebaliknya mereka menentang.

Oleh itu tegasnya, Allah melarang orang beriman untuk hadir ke majlis seumpama kerana demikian akan terbabit seperti mereka.

“Tetapi ada hadir untuk meramaikan konon. Hadir untuk dengar konon. Berasa bijak sangat. Kecuali mereka yang ditugaskan olehPARTI, boleh hadir. Yang tak ditugaskan oleh parti, tidak mustahil dirasuk oleh was-was syaitan yang boleh merosakkan pendirian mereka.

“Ini tarbiah daripada Allah SWT. Inilah yang kita sedang alami dalam perjalanan. Al-Quran adalah mukjizat. Al-Quran adalah ‘hudanlinnas’ Petunjuk kepada manusia sehingga hari Kiamat. Bukan sahaja di zaman Nabi SAW termasuk hari ini sehingga hari Kiamat. Hidayat sehingga hari Kiamat,” perjelas beliau.

Bina Kekuatan Sendiri

“Tidak dinafikan kita perlu mengambil dan melihat kelemahan yang ada pada musuh, tetapi jangan kelemahan itu menjadi harapan kita. Kita mesti membina kekuatan jamaah kita sendiri. Menang dengan kekuatan kita. Bukan menang dengan lemah musuh, kita juga lemah.

“Tidak ada erti kerana kemenangan kita untuk mengislah, bukan untuk ambil kemenangan semata-mata. Tujuan kita bukan untuk ke Putrajaya. Duduk atas kerusi, dalam ‘office’, ‘aircond’ yang baik. Tujuan kita ialah untuk menyelamatkan rakyat dengan islah.

“Kita mesti faham ada orang kata peluang kita ke Putrajaya sekali sekarang ini. Pergilah, nak pergi sekarang pun boleh. Boleh pergi. Tetapi kita ada tujuan, ada matlamat,” tegas Tuan Guru.

Menurut beliau, PAS berpandangan bahawa kelemahan yang ada pada Umno pada hari ini seperti isu Tabung Haji adalah mengulangi kelemahan-kelemahan lama dan sama sebagaimana dahulu.

Katanya, KWSP, Petronas, Skyhawk, Perwaja, Maika Holding dan pelbagai kelemahan zaman Perdana Menteri sebelum-sebelum ini hanya mengulangi senario serupa.

Demikian itu ujarnya, jika turunnya Perdana Menteri ini, akan naik Perdana Menteri baru dari Umno juga yang akan mengulangi kelemahan sama.

Aslim Taslam

Ke arah menyelesaikan masalah seperti itu katanya, maka beliau menyeru supaya pengislahan yang diajar oleh Nabi SAW dilakukan iaitulah “Aslim taslam”, merujuk kepada “Ikut Islam, akan selamat”, sebagaimana surat Baginda kepada Raja-raja.

“Surat Nabi kepada Raja Parsi, kepada Raja Rom, Raja Habasyah, Raja Mesir, Raja Muscat dan Oman. Semua surat ini menyeru “Aslim taslam”. Kalau kamu ikut Islam, kamu selamat. Bukan kami nakDAPAT kuasa. Bukan kami nak berebut kerusi. Kami nak suruh kamu ikut Islam. Selesaikan masalah.

“Apabila Raja Habasyah ikut Islam, dikekalkan dia jadi raja. Raja Bahrain ikut Islam, kekal jadi raja. Raja Muscat ikut Islam, kekal jadi raja. Raja Parsi, raja Rom tak ikut Islam dihadapnya habis-habisan sehingga tumbang raja-raja itu.

“Ini yang diajar oleh Islam. Bukan kita nak berebut kerusi. Tujuan kita nak meletakkan islah di dalam masyarakat,” jelas Tuan Guru.

Memetik sirah usaha Rasulullah menjalin hubungan dengan Bani Amir, wakil kaum itu telah mengajukan bahagian yang akan diperolehi pihaknya dari pemerintahan tersebut, lalu dijawab Baginda, “Pemerintahan itu bagi Allah. Allah kurnia kepada sesiapa yang Dia kehendaki.”

Pendirian tersebut ujar Tuan Guru, menyebabkan Bani Amir enggan menjalin hubungan dengan pihak Islam sekaligus menolak seruan Baginda.

Sebab itulah katanya, perjuangan ini bukanlah mengikut telunjuk mereka yang hanya mahu mengambil kerusi pemerintahan, sebaliknya untuk menunaikan perintah diamanahkan Allah SWT di mana ke arah itu, PAS mesti membuat persediaan.

Mengikuti ‘Roadmap’ Allah

Terang Tuan Guru Abdul Hadi, sebagai hamba manusia mesti memberi harapan kepada Allah dan Allah pasti menunaikan harapan itu sebagaimana dijanjikan-Nya.

Ujar beliau, dalam keghairahan menyediakan jalan dan rancangan sendiri, Allah SWT telahpun meletakkan ‘roadmap’ dan manusia mesti merujuk kepada perancangan Allah itu.

Firman Allah SWT: 
“Dialah yang telah mengutus Rasul-Nya dengan membawa petunjuk dan agama yang benar untuk dimenangkan-Nya atas segala agama, walaupun orang-orang musyrikin tidak menyukai.” (at-Taubah: 33)

Tegas Ahli Parlimen Marang itu, Islam pasti akan naik suatu hari nanti, di mana pasang-surut yang berlaku adalah untuk menzahir dan mengatasi segala ajaran-ajaran lain, sama ada agama, ideologi, teori, perundangan mahupun cara hidup.

“Islam akan naik tinggi menguasai walaupun dibenci oleh orang-orang musyrikin. “Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya?”

“Roadmapnya, kamu sumbangkan modal. “Kamu beriman kepada Allah dan Rasul serta berjihad dijalan-Nya dengan harta dan jiwamu.” Inilah asas dan tonggak iaitu beriman kepada Allah dan Rasul. Seterusnya berjihad dengan makna kesungguhan mengorbankan nikmat yang diberi oleh Allah dengan harta dan diri,” ujar beliau memetik ayat 10 dan 11 surah as-Saff itu.

Jelas Tuan Guru, Allah menyebut harta dahulu kemudian diri untuk ditunaikan sebagai sumbangan dari nikmat yang paling manusia sayangi ke arah meninggikan agama Allah SWT bagi memenangkan Islam.

Keuntungan dariPELABURAN itu ujarnya, Allah mengampunkan dosa-dosa manusia dari kealpaannya mencari harta dan pergaulan.

“Dan sesiapa yang datang kepadaNya sedang ia beriman, serta ia telah mengerjakan amal-amal yang soleh, maka mereka itu akan beroleh tempat-tempat tinggal yang tinggi darjatnya. (Iaitu) Syurga-syurga kekal, yang mengalir padanya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; dan yang demikian itu ialah balasan orang-orang yang membersihkan dirinya dari perbuatan kufur dan maksiat,” ujarnya memetik ayat 75 dan 76 surah Thaha.

Tegas Tuan Guru, kemenangan paling besar iaitulah setelah meninggal dunia dan di hari akhirat, serta kemenangan sebagaimana diharapkan manusia di atas dunia hasil dari pertolongan Allah di mana waktu itu semakin hampir sebagai berita gembira kepada orang beriman.

Melengkapkan Kewajipan

Menurut beliau, Allah menjanjikan kemenangan akhirat dan dunia dengan syarat mestilah ditunaikan kewajipan harta dan diri untuk meninggikan agama Allah, di mana semua itu adalah ujian Allah kepada manusia yang hanya boleh ditunaikan oleh orang-orang beriman.

Tegasnya, tanpa keimanan bermakna tidak akan menerima janji Allah di mana keimanan itu juga mestilah mengikuti adab dan akhlak diatur oleh Allah iaitulah bukan hanya sanggup menyumbangkan harta, jiwa dan raga, tetapi mestilah ikhlas, faham, wala’ dan taat.

“Mestilah dengan adab berjamaah. Mesti ikhlas kerana Allah Taala bukan kerana nak dunia. Dunia Allah Taala bagi, jangan takut. Ada orang bimbang takDAPAT dunia, jadi tak ikhlas. Apabila tak ikhlas, maka tak cukup syarat.

“Belum apa-apa sudah ada niat dalam hati. Dapat kereta, dapat kemewahan dan projek. Projek ada, akan tiba masanya. Belum tiba sudah letak dalam kepala lupa kepada Allah Taala. Ini tidak boleh. Ini silap. Allah Taala bersihkan hati kita daripada tidak ikhlas ini.

“Mesti faham jangan tidak faham. Faham apa dia Islam. Apa dia perjalanan kita. Apa dia cabaran-cabaran. Jangan tak faham. Mesti wala’ setia kepada jamaah, jangan tak setia. Jangan “loq laq loq laq” sekali begitu, sekali begini.

“Mesti setia kepada jamaah dan mesti taat ketaatan kepada Allah dan Rasul dan kepada kepimpinan dalam jamaah itu. Ini sangat penting,” terang Tuan Guru.

Kemenangan Pasti Tiba

Menurutnya, setelah ditunaikan semua itu dan dipenuhi syarat-syarat, maka Allah Taala pasti memberi kemenangan, seterusnya perlu pula untuk mengisi kemenangan.

Ujar beliau, kemenangan Islam adalah rahmat kepada seluruh alam dan merupakan suatu kekuatan.

“Jangan kita bimbang. Hari ini orang bimbang kalau Islam menang nanti seluruh dunia akan kepung. Kalau Islam menang seluruh dunia akan bendung. Kalau Islam menang cabaran sangat besar. Inilah cabaran yang dihadapi oleh Nabi SAW.

“Kalau bagi kepada Islam Terengganu, Kelantan, habislah. Dah 20 tahun, tak habis pun Kelantan. Boleh bertahan. Terengganu walaupun kita tumbang, tak habis lagi Terengganu. Kekuatan kita masih ada, tak habis. Bahkan Terengganu ada asas yang kukuh.

“Terengganu negeri yang paling akhir dijajah oleh British. Negeri yang pertama dimenangi oleh PAS tahun 1959 sebelum Kelantan. Cuma kejatuhan Terengganu terlaluCEPAT. Ada kelemahan yang perlu kita baiki. Kelantan boleh bertahan, ada asas kekuatan pada mereka yang kita kena belajar. Kita ada asas untuk menang. Jangan bimbang.

“Pemimpin Makkah kata tidak ada harapan untuk menang. Kalau menang hancur Makkah. Tuhan kata mereka tak sedar, Kami yang meletakkan asas kepada mereka di Makkah ini rezeki yang melimpah ruah.

Acuan Mendirikan Negara

Menurut Tuan Guru, manusia hari ini di seluruh dunia meletakkan kekuatan kewangan, ekonomi, kebendaan dan kekuatan rakyat sebagai acuan mendirikan negara.

Sedangkan katanya, Allah berfirman dalam surah Quraisy “Maka hendaklah mereka menyembah Tuhan yang menguasai rumah (Kaabah) ini, Tuhan yang memberi mereka penghidupan: menyelamatkan mereka dari kelaparan, dan mengamankan mereka dari ketakutan.”

Jelasnya, ayat tersebut menekankan perkara pertama adalah kekuatan keimanan, diikuti kekuatan ekonomi dan seterusnya kekuatan politik.

Ujar Naib Ketua Kesatuan Ulama Sedunia itu, kekuatan ekonomi dan politik mestilah dibina di atas iman dan taqwa sebagai acuan yang diatur oleh Allah SWT.

Terangnya, ‘acuan Allah’ sangat penting kerana Dialah yang mencipta manusia dan tahu segalanya mengenai manusia di mana terdiri dari jasad, roh dan akal.

Malah katanya, manusia hidup sendiri, berkeluarga dan bermasyarakat di mana dengan sifat-sifat yang ada itu, manusia layak bertugas di atas muka bumi dan bukannya malaikat, jin atau haiwan.

“Tetapi mestilah mengikut acuan pembangunan manusia yang diatur oleh Allah Taala. Keperluan jasad, roh dan akal. Ini kena ada pada Islam. Tidak ada pada yang lain,” tegasnya.

Muhasabah Dunia Islam

Menurut Tuan Guru Abdul Hadi, dunia Arab hari ini kaya-raya dan duit melimpah-ruah tetapi meninggalkan Islam.

Ujarnya, negara-negara Arab menghimpunkanWANG dengan banyaknya setelah 10 tahun merdeka daripada Turki Uthmaniah yang dianggap mereka sebagai penjajah lalu menjatuhkannya dengan bantuan kuasa-kuasa Barat untuk memerdekakan Arab di atas nama Nasionalisme Arab.

Negara-negara Arab katanya, seperti Saudi, Qatar, Dubai, Emirates dan Kuwait menyambut hari kebangsaan dari penubuhan negara setelah mereka menghalau Kerajaan Uthmaniah.

“Merdekalah mereka dengan duit yang banyak, minyak melimpah-ruah, harta yang banyak. Apa yang berlaku pada hari ini? Mereka tidak bangkit sebagai satu ummat yang perkasa dan kuat untuk memimpin dunia Islam.

“Sepatutnya merekalah yang memimpin dunia Islam. Al-Quran diturunkan dalam bahasa mereka. Nabi bangsa mereka. Makkah duduk di bumi mereka. Merekalah yang patut. Tetapi mereka membakar diri sendiri. Berperang, berbalah sesama sendiri.

“Senjata beli dari tokeh senjata. Tokeh senjata letak berapa harga sanggup bayar. Dia berperang, dia yang mati. Senjata dari orang lain, duit bagi orang. Apalah kebodohan yang sampai begini berlaku. Puncanya kerana meninggalkan Islam. Maka Islam sangat penting,” tegas beliau.

Teguh Dengan Islam

PAS ujar Tuan Guru, mesti buktikan kepada rakan-rakan dalam tahaluf siyasi ia tegas dengan Islam dan tidak akan berganjak sama sekali dengan agama itu.

Katanya, Komunisme dan Sosialisme yang menggunakan tenaga manusia sebagai kilang-kilang untuk menjana ekonomi terbukti telah gagal di mana pemimpin Komunis dan Sosialis menjadi lebih ganas dari negara Kapitalis sendiri.

Sedangkan di negara Kapitalis pula menurutnya, harta digunakan untuk kemewahan golongan-golongan tertentu di mana pihak lain menjadi mangsa pada golongan lebih kaya.

“Semua teori ini sudah gagal. Sepatutnya kita kena ajak orang Cina, India, Iban yang bukan Islam, ajak kepada Islam. Masuk Islam, selamat dunia sampai akhirat. Tak mahu masuk Islam, ikut Islam, selamat dunia sahaja. Akhirat serah kepada Tuhan.

“Kalau mereka (orang bukan Islam) boleh ikut Komunis, boleh ikut Sosialis, berjuang masuk hutan sanggup mati, ikut Karl Marx Yahudi Jerman, boleh berjuang di atas ideologi yang diimport daripada Barat, mengapa tidak boleh menegakkan Islam bersama dengan kita? Ini sangat penting,” ujarnya menjentik fikiran.

Peluang Dan Harapan

“Alhamdulillah, kejayaan kita memerintah di Kelantan sehingga kini, di Terengganu dalam masa satu penggal. Memimpin Kerajaan Negeri Kedah satu penggal. Di Perak setahun. Kita telah berjaya memecahkan tembok yang memisahkan kita dengan orang-orang bukan Islam.

“Mereka mula nak intai, nak tengok kita dan sudah ramai yang masuk (menyertai) kita. Kita binakan yang masuk kita ini kekuatan kepadaPARTI untuk menjana kehebatan yang boleh memberi kemenangan kepada kita. Seterusnya kita panjangkan lagi kepada mereka yang tak masuk kita dengan berbagai-bagai pendekatan yang diajar oleh Islam.

“Islam mengajar pendekatan yang banyak bukan tahaluf sahaja. Oleh kerana kita baca tahaluf sahaja, pendekataan tahaluf persefahaman dalam titik persamaan. Ini satu. Ini boleh dengan orang bukan Islam, termasuklah kerjasama dalam isu-isu kemanusiaan. Ini boleh.

“Berdialog. Ini boleh. Berdebat dengan hujah yang baik. Ini tanggung jawab kita. Kita mesti jadiPARTI yang terbuka. Parti yang positif. Bukan parti yang tertutup. Parti yang bersikap negatif terhadap semua orang. Ini tidak boleh.

“Ini tanggung jawab yang mesti kita tunaikan. Ini adalah satu peluang yang sangat besar yang diberi kepada kita oleh Allah SWT,” ujarnya menyatakan harapan

Iktibar daripada Israk Mikraj

PERISTIWA Israk dan Mikraj memang menakjubkan. Menurut beberapa riwayat, ia berlaku pada malam 27 Rejab tahun ke-11 daripada kerasulan Nabi Muhammad SAW.

Ia adalah peristiwa yang sangat luar biasa dilalui oleh Rasulullah SAW. Baginda telah melalui Israk (perjalanan pada waktu malam) dari Masjidil Haram, Mekah ke Masjidil Aqsa di Palestin. Mikraj pula merujuk kepada perjalanan Nabi merentas tujuh lapis langit hingga ke Sidratul Muntaha dan ke Mustawa. Semua itu berlaku hanya dalam satu malam. (rujuk surah al-Israk: 1)

Peristiwa besar ini berlaku selepas nabi SAW menempuh tahun dukacita. Manakan tidak, baginda kehilangan orang yang paling dikasihi dalam hidupnya, iaitu isteri baginda, Siti Khadijah, dan bapa saudara baginda, Abu Talib dalam tahun yang sama. Kedua-dua insan ini adalah tokoh penting yang membantu usaha dakwah baginda di peringkat awal.

Tidak lama kemudian, berlakulah pula peristiwa Taif, di mana baginda telah menghadapi cubaan yang sangat mencabar. Nabi telah dihina, dicerca dan dikecewakan oleh penduduk Taif yang telah menolak usah dakwah baginda.

Di saat kesedihan yang amat sangat itulah Jibril datang membawa pesanan gembira untuk mengiringi baginda untuk Israk dan Mikraj bertemu Pencipta-Nya. Itulah hadiah yang paling bermakna ketika baginda memerlukannya.

Jemputan Allah kepada Rasulullah SAW itu menjadi ujian keimanan kepada umat manusia. Ia bertujuan melihat keyakinan mereka terhadap agama Allah termasuk syurga, neraka, dosa dan pahala. Ini kerana dalam peristiwa berkenaan banyak perkara pelik dan aneh diperlihatkan kepada baginda SAW untuk selanjutnya disampaikan kepada umat Islam.

Keyakinan terhadap semua keajaiban yang berlaku dalam peristiwa itu telah membawa kepada gelaran al-siddiq (yang membenarkan) kepada Saidina Abu Bakar.

Perkara utama yang difardukan dalam Israk Mikraj ini adalah solat fardu lima waktu sehari semalam. Keutamaan solat jelas terbukti apabila perintah itu disampaikan sendiri oleh Allah kepada Nabi SAW tanpa perantaraan malaikat Jibril.

Dengan kata lain, solat adalah penentu utama kejayaan seseorang Muslim itu di akhirat kelak. Jika solatnya sempurna maka mudahlah baginya melepasi mahkamah Allah kelak. Ia sebagaimana hadis Nabi SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya amal yang mula-mula sekali dihisab pada hari kiamat ialah sembahyang seseorang, jika sembahyangnya diterima maka sesungguhnya beruntunglah dan berjayalah ia, jika sembahyangnya tidak diterima maka kecewa dan rugilah ia”. (Riwayat Tirmidzi)

Seperkara lagi, dalam berhadapan dengan masalah, kita sepatutnya mengadu dan mendapatkan bantuan Allah dengan cara menunaikan solat antaranya solat hajat dan solat istikharah. Ini adalah antara pengajaran daripada peristiwa Israk dan Mikraj yang perlu kita amalkan.

Israk dan Mikraj juga mengajar kita apabila berada dalam dukacita, bawalah diri melancong atau berjalan-jalan. Pendek kata, jika isteri atau anak-anak berada dalam kesedihan si suami hendaklah berusaha membawa mereka bersiar-siar di dalam atau luar negara. Mudah-mudahan hati akan kembali ceria dan gembira.

Sumber: Utusan Online

Teliti dalam sembahyang, hakikat lahir dan batin disempurnakan dengan cermat

TUJUAN utama Allah SWT menjadikan manusia ialah agar mereka mengabdikan diri kepada-Nya. Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: Dan tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadat kepada-Ku. (az-Zarriyat: 56). 

Menyempurnakan Rukun Islam yang lima adalah satu ibadah terpenting kepada Allah SWT. Dalam konteks ini, sembahyang adalah salah satu daripada Rukun Islam.

Sebagai rukun, maka setiap orang yang mengaku dirinya beragama Islam yang telah cukup umurnya wajiblah menunaikan sembahyang yang telah difardukan ke atas mereka. Sesiapa yang meninggalkan sembahyang maka sesungguhnya ia telah melakukan satu dosa besar.

Oleh sebab sembahyang merupakan satu rukun maka ia wajib dikerjakan walaupun dengan apa cara dan dalam apa keadaan sekalipun. Bagi mereka yang uzur atau sakit, ia diberi kemudahan untuk mengerjakannya mengikut kadar kemampuan, sama ada dengan duduk, berbaring (tidur), hatta dengan mata sekalipun.

Allah SWT memberi jaminan bahawa sesiapa yang bersembahyang maka ia akan selamat, baik di dunia mahupun di akhirat. Firman Allah yang bermaksud: Dan dirikanlah sembahyang. Sesungguhnya sembahyang itu dapat mencegah perbuatan keji dan mungkar dan sesungguhnya mengingati Allah itu lebih utama. (al-Ankabut: 45)

Sesungguhnya, sembahyang dalam Islam bukanlah sekadar ucapan–ucapan lisan dan menggerakkan anggota badan, tanpa ada merenung akal dan kekhusyukkan hati. Solat seperti ini tidak ubah seperti ayam yang mematuk atau burung yang berkicauan dan berlalu begitu sahaja.

Orang yang khusyuk dalam sembahyang akan meninggalkan segala lintasan hati yang berkaitan dengan urusan dunia. Segala perhatian dalam sembahyang hendaklah tertumpu kepada mendiri dan menunaikannya dengan baik. Sembahyang dengan hati yang lalai, tanpa khusyuk adalah tidak memberi apa-apa manfaat sama sekali.

Khusyuk dapat dianggap sebagai vitamin bagi sembahyang. Makanan yang tidak ada vitamin tidak memberi apa-apa faedah kepada kita. Begitulah sembahyang yang tidak ada khusyuk. Ia adalah kosong dan tidak berpahala.

Dalam mengerjakan ibadat sembahyang, kita disuruh bercermat daripada segi lahir dan batin. Sesungguhnya sembahyang seseorang itu tidak akan dikira sempurna melainkan dengan melaksanakan kedua-dua hakikat ini sekali gus.
Imam Al-Ghazali mengatakan bahawa seseorang yang melakukan sembahyang dengan mengutamakan hakikat lahir tetapi tidak mengambil berat tentang hakikat batin, maka sembahyangnya itu dapat diibaratkan seperti seorang yang menghadiahkan seorang puteri yang sudah mati kepada seorang raja.

Sebaliknya, seorang yang melakukan ibadat sembahyang dengan mengutamakan hakikat batin pula, dapat disamakan dengan seorang yang menghadiahkan raja seorang puteri yang kudung kaki tangannya dan buta pula matanya.

Oleh sebab hadiah yang diberikan itu tadi tidak bernilai sama sekali bagi raja, maka lumrahnya kedua-dua orang tadi akan dimurkai raja. Mereka akan diseksa dan diberi balasan yang setimpal oleh raja kerana menghina kedudukan dan mengabaikan baginda serta mengabaikan haknya.

Begitulah juga dengan ibadat sembahyang. Kedua-dua hakikat lahir dan batin hendaklah disempurnakan dengan cermat. Sesungguhnya tidak ada Tuhan yang wajib disembah melainkan Allah SWT.

Kita juga tidak digalak melayani perasaan was-was. Sesungguhnya was-was dalam kesucian dan sembahyang itu adalah daripada hasutan syaitan. Syaitan sentiasa berusaha untuk mengelirukan orang yang cetek ilmu dan lemah imannya.
Ketika menghadap kiblat, orang yang sembahyang diarah memalingkan wajahnya mengarah ke rumah Allah semata–mata. Demikianlah juga dengan hati, ia tidak boleh menuju kepada Allah kecuali dengan memutuskan hubungan dengan selain-Nya.

Hati membohongi lisan
Ketika bertakbir, jangan sampai hati membohongi lisan. Apabila di dalam hati ada sesuatu yang lebih utama daripada Allah SWT, bererti kita telah berbohong.

Bacaan dalam sembahyang juga perlu diambil perhatian. Bacaan al-Fatihah, khususnya perlu dibaca dengan cermat. Semua baris panjang, pendek, tanwin dan sebagainya perlu dibaca dengan teliti. Orang yang mengabaikan surah ini, maka sembahyangnya akan ditolak oleh Allah SWT.

Oleh itu, tumpukan perhatian sepanjang pembacaannya. Rasakan kelembutan-Nya ketika membaca ar-rahman ar-rahim dan rasai keagungan-Nya ketika melafazkan malikki yaumiddin. Apabila membaca istiazah, sedarilah bahawa anda sedang meminta perlindungan kepada Allah SWT.

Begitulah juga ketika rukuk. Usahakan untuk bersikap tawaduk (rendah hati) dan tambahkan ketundukkan ketika sujud. Ingatlah kebesaran Allah SWT dan akuilah keagungan-Nya. Tanamkan rasa malu di hati kerana kekurangan yang kita lakukan dalam solat. Perlu ada perasaan bimbang sekiranya solat itu tidak diterima, bahkan dimurkai akibat dosa lahir ataupun batin.

Sesungguhnya amalan mendirikan sembahyang dengan penuh berhati-hati seperti tuntutan-Nya boleh membentuk satu budaya atau cara hidup supaya hidup dengan cermat.

Sembahyang yang didirikan dengan cermat akan merapatkan diri seseorang hamba itu dengan Allah Yang Maha Pencipta dan dapat mencegah diri daripada melakukan perkara larangan-Nya. (rujuk al-Ankabut: 45)

Dengan menghadirkan semua konsep di atas, hati kita akan menjadi bersih daripada karat hingga dapat menerima cahaya untuk melihat keagungan Allah SWT. Moga dengan berbuat demikian, sembahyang kita akan diterima Allah. Insya-Allah.

Sumber: Utusan Online