Sabar, reda ubat mujarab elak gangguan jiwa

Oleh Khairul Azhar Idris

Penerapan nilai murni ditunjangi iman, takwa penting untuk peningkatan rohani

USAHA mempromosi kesihatan mental biasanya dikaitkan dengan Kementerian Kesihatan. Pada peringkat antarabangsa usaha advokasi dan promosi rawatan serta penjagaan kesihatan mental dipelopori Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Memandangkan pentingnya segala maklumat kesihatan mental ini sampai kepada seluruh masyarakat dunia, maka 10 Oktober setiap tahun dijadikan sebagai Hari Kesihatan Mental Sedunia oleh Persekutuan Kesihatan Mental Sedunia (WFMH).

Pada tahun ini, sambutan bertema `Kesihatan Mental dalam Penjagaan Utama: Mengukuhkan Rawatan dan Promosi Kesihatan Mental`. Antara lain matlamat sambutan ini adalah bagi meningkatkan kesedaran awam berhubung pentingnya mendapatkan rawatan dan penjagaan sempurna untuk memelihara kesejahteraan mental sepanjang masa. Malaysia juga tidak ketinggalan untuk turut serta dalam menjayakan usaha yang murni ini agar dapat dikecapi oleh setiap penduduknya demi memelihara kesejahteraan mental mereka.

Begitu juga, secara umumnya, sama ada disedari atau tidak, dalam usaha memelihara atau meningkatkan kesejahteraan mental pada setiap masa, Islam menyediakan pelbagai pendekatan, teknik tertentu bagi tujuan itu. Ia bermula dari tasawwur atau bagaimana Islam menggambarkan konsep kehidupan. Ini diikuti pula dengan penerapan nilai murni yang ditunjangi keimanan dan ketakwaan, selain dikukuhkan lagi dengan beberapa amalan ritual yang dilihat sebagai teknik tertentu ke arah peningkatan kesihatan mental.

Islam melihat dunia sebagai satu pangkalan sementara saja sifatnya, di mana ia menyediakan pelbagai sumber dan peluang sebelum perjalanan lanjut diteruskan. Pandangan Islam terhadap dunia adalah sebagai tempat untuk umatnya bersedia dengan amalan-amalan yang boleh menyelamatkan dirinya dan ahli-ahlinya dalam perjalanan menuju ke alam akhirat yang lebih sempurna kelak.

Dunia turut dilihat sebagai satu gelanggang yang sarat dengan segala macam ujian, untuk menilai siapa antara mereka yang mampu melepasinya. Konsep ini amat berbeza dengan pandangan sekularisme yang menilai dunia sebagai syurga, manakala kehidupan selepas kematian dicanang sebagai kepalsuan.

Akibatnya, dunia dilihat sebagai lubuk kemewahan atau tempat membina kekayaan tanpa had. Namun, tidak semua manusia itu mampu mengaut kemewahan sepanjang masa, kerana kehidupan dunia diibaratkan seperti roda. Lantaran itu, kegagalan yang melanda diiringi dengan rasa kekecewaan, kebimbangan, dan putus asa yang berakhir dengan kekesalan, kemurungan dan bunuh diri. Amat menakutkan apabila statistik negara menunjukkan kadar bunuh diri yang meningkat antara sembilan hingga 12 orang bagi setiap 100,000 populasi sejak kebelakangan ini berbanding lapan orang sekitar lewat 80-an.

Terdapat segelintir manusia yang lalai dan hanyut lantas menjadi rakus, lalu terlepas peluang dan segala sumber untuk menyiapkan diri dengan bekalan itu yang akhirnya merugikan diri apabila memasuki alam akhirat. Akibat situasi ini, muncul pelbagai tanda gejala yang berpunca dari kelalaian dan kerakusan sikap mereka sendiri, yang turut mengakibatkan beberapa tanda gejala gangguan kejiwaan seperti tekanan mental atau stres dan keresahan serta kebimbangan.

Malahan memang tidak dapat dinafikan bahawa kebimbangan dan kerisauan itu tanda gejala utama gangguan mental. Penghidap skizofrenia umpamanya, mereka turut mengalami tahap kebimbangan kronik. Begitu juga, pemikiran risau secara melampau yang tidak berasas pula menjadi simptom utama penyakit mental seperti fobia dan gangguan panik.

Bagi mencegah gangguan mental yang berpunca dari tahap kebimbangan melampau ini, Islam mengutamakan nilai-nilai murni yang ditunjangi oleh rasa keimanan dan ketakwaan (Surah An-Nahl: 97). Di peringkat individu, Islam mendidik mereka supaya sentiasa sabar dan reda dengan kehidupan serta mampu menilai ujian sebagai penghapus dosa dan peningkatan keimanan. Amalan ini akhirnya akan menghilangkan rasa kecewa dan putus asa mereka. Malah mereka akan diberi ganjaran pahala pula kerana sentiasa sabar dan reda dengan segala bentuk ujian yang diberi.

Pemikiran risau yang membelenggu juga boleh dihapuskan jika amalan solat, membaca al-Quran dan berzikir itu dihayati sepenuhnya (Surah Ar-Ra`d : 28). Ketika melakukan aktiviti berkenaan, pemikiran telah difokuskan ke arah aktiviti yang berkecuali dan positif saja, manakala rasa risau dan bimbang dapat dikurangkan. Kajian sains turut membuktikan bahawa pemikiran positif dan tenang seperti ini mampu menstabilkan imbangan cecair otak manusia seperti serotonin, dopamin dan endorfin, yang sering kali didapati terjejas di kalangan pesakit jiwa. Malah kerana aktiviti itu, mereka berasa puas dan gembira pula lantaran diberi ganjaran pahala dan peningkatan kedudukan sebagai seorang mukmin dan pastinya syurga yang menanti mereka atas amalan yang penuh keikhlasan ini.

Sebagai langkah meningkatkan kesedaran awam, sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia yang diadakan minggu ini memperkenal, memperbaharui dan memajukan pelbagai kaedah dan teknik bagi merawat dan memulih, serta mendidik dan mencegah pelbagai penyakit berkaitan mental dan emosi.


Penulis ialah felo Institut Kefahaman Islam Malaysia

Berita Harian Online

Perlakuan buruk undang berlaku bala, bencana terhadap manusia

CUKUP menyayat hati apabila melihat satu persatu bala dan ujian Allah SWT turunkan kepada manusia pada hari ini. Daripada bala yang datang secara halus sehingga cara menakut dan mengerikan. Semuanya menyakitkan, menyeksakan kehidupan kita, memedihkan perasaan kita dan memilukan hati nurani kita semua.

Adakah semua bala yang melanda kita hari ini sekadar bencana alam dan masalah kebersihan yang tidak dijaga sehingga bertukar menjadi penyakit atau virus? Hanya orang berfikir, menghayati, insaf dan merenung saja yang akan mendapati jawapan terhadap fenomena ini.

Semua bala dan ujian yang Allah turunkan kepada manusia adalah sebagai dalil bahawa Allah benar-benar berkuasa ke atas makhluknya. Allah juga menurunkan bala supaya manusia berfikir bahawa di alam ini ada kuasa ghaib yang mentadbir, mengurus dan menyelaras keseluruhan proses kejadian alam. Allah menimpakan pada manusia bala dan ujian untuk manusia menyedari bahawa gunung-ganang, teknologi canggih, perkembangan sains, persenjataan hebat, negara bertamadun, pemimpin yang punya kuasa politik besar dan rakyat yang hidup mewah, semuanya akan musnah apabila berhadapan dengan bala dan ujian Allah SWT.

Adakah bala dan ujian Allah datang tanpa dijemput? Pernahkah kita mengangkat kedua-dua tapak tangan ke langit untuk memohon bala dan ujian Allah SWT? Mestilah kita katakan tidak pernah. Hakikatnya, kita menjemput bala Allah tanpa disedari. Kita menyeru bala Allah dengan membanyakkan zina, menyebarkan budaya minum arak, memperkayakan kehidupan dengan mata pencarian haram, meninggalkan arahan Allah, melakukan segala larangan Allah, budaya keseronokan (hiburan) dan pembuangan bayi menyebabkan turunnya bala dan ujian Allah, sedangkan kita tidak menyedarinya.

Sebenarnya kita hanya diberi bala dan ujian yang kecil Allah jika dibandingkan bala Allah kepada Kaum Ad, Thamud, kaum Nuh, kaum Hud dan umat terdahulu sehingga mereka tidak meninggalkan generasi sehingga hari ini.

Firman Allah yang bermaksud, "Dan apa jua yang menimpa kamu dari sesuatu kesusahan (atau bala bencana) maka ia adalah disebabkan oleh apa yang kamu lakukan (perbuatan salah dan berdosa) dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian daripada dosa kamu." (As-Syura: 30)

Sabda Rasulullah SAW: "Tidak menghalang sesuatu kaum itu daripada mengeluarkan harta melainkan mereka menghalang langit daripada menurunkan hujan, kalaulah tidak kerana binatang (di muka bumi) nescaya langit pasti tidak menurunkan hujan selama-lamanya."

Maksud hadis, daripada Ali bin Abi Thalib r.a., Rasullulah s.a.w. bersabda: "Apabila umatku membuat 15 perkara, maka bala pasti akan turun kepada mereka, iaitu:

  • Apabila harta negara hanya beredar kepada orang tertentu.

  • Apabila amanah dijadikan suatu sumber keuntungan.

  • Zakat dijadikan hutang.

  • Suami turut kehendak isteri.

  • Anak derhaka kepada ibunya.

  • Anak suka berbaik-baik dengan kawan.

  • Anak suka menjauhkan diri daripada ayah.

  • Suara ditinggikan di dalam masjid.

  • Ketua kaum adalah yang terhina di antara mereka.

  • Seseorang dimuliakan kerana ditakuti kejahatannya.

  • Arak diminum di merata tempat.

  • Kain sutera banyak dipakai oleh lelaki.

  • Artis jadi pujaan.

  • Muzik banyak dimainkan.

  • Generasi akhir umat ini melaknat serta menyalahkan generasi pertama iaitu sahabat Nabi SAW.

    Maka pada ketika itu hendaklah mereka menanti angin merah atau gempa bumi atau mereka akan diubah menjadi makhluk yang lain. (Hadis Tarmizi)

    Berita Harian Online ~ 6 Oktober 2009