Solat Taubat (Panduan Penjernihan Jiwa)

Sumber rujukan: Solat Taubat (Panduan Penjernihan Jiwa)
Muhammad Isa Selamat

ALLAH swt sentiasa memerintahkan kita supaya bertaubat, sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: “Hai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan taubat yang sebenar.” (At-Tahrim: 8.)

Allah telah membuka pintu harapan kepada hamba-hambaNya: “Katakanlah; wahai hamba-hambaKu yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampunkan dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dialah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Az-Zumar: 53)

Syarat-syarat taubat :

  1. Ikhlas ingin bertaubat
  2. Tidak akan mengulangi perbuatan dosa itu lagi
  3. Menyesal atas perbuatan yang telah dilakukan
  4. Harus mempunyai tekad di dalam hati tidak akan melakukan dosa itu untuk selama-lamanya
  5. Dikerjakan sebelum ajal tiba

Jika salah satu syarat tidak dipenuhi, maka taubat yang dilakukan itu tidaklah sah. Jika dosa berkaitan dengan manusia yang lain, maka syaratnya ditambah lagi, iaitu harus dapat membebaskan diri dari hak orang yang berkaitan. Contohnya jika hal itu berbentuk harta, harus dikembalikan. Jika berbentuk hukuman, ia harus menyerahkan diri mohon dimaafkan. Jika hal berupa cacian dan sebagainya, maka ia harus memohon keredhaannya.

Waktu melaksanakan taubat :

Taubat tidak boleh diundur-undur atau ditunda. Kerana jika demikian ia sangat berbahaya bagi hati manusia. Jika tidak segera menyucikan diri sedikit demi sedikit, maka pengaruh dosa itu akan bertompok-tompok, dan akhirnya akan merosakkan hati sehingga tertutup dari cahaya kebenaran.

Di antara penyebab yang akan membangkitkan jiwa bertaubat seseorang itu adalah jiwa yang selalu mengingati hari kematian dan hidup bersendirian di dalam kubur. Kata-kata mati adalah sesuatu yang sangat menakutkan kebanyakan manusia. Mati beerti berpisah dengan segala yang disayangi atau dicintai. Hari terputusnya segala nikmat. Sedangkan berpisah sebentar sahaja dengan anak atau isteri, dapat mengalirkan air mata kesedihan, apa lagi berpisah untuk selamanya

Firman Allah: “Sesungguhnya kamu akan mati dan sesungguhnya mereka akan mati pula.” (Az-Zumar: 30)

Di samping mengingat tentang azab penderitaan yang bakal dihadapi oleh orang-orang yang berdosa mengingat kenikmatan syurga yang bakal ditempati oleh orang-orang yang soleh juga akan dapat membangkitkan keinginan jiwa untuk melakukan taubat dengan segera.

Cara melaksanakan solat taubat :

Cara melaksanakan solat taubat ini sama dengan solat biasa, iaitu setelah berwuduk dengan sempurna, lalu berdiri di tempat yang suci, menghadap kiblat;

  • Waktu di lakukan - bila-bila masa merasa telah berbuat dosa (kecuali waktu makruh tahrim utk melakukan solat)*. Sebaik-baiknya 2/3 malam (pukul 2 pagi ke atas), semasa Qiyamullail
  • Lafaz niat: “Sahaja aku mengerjakan solat sunat taubat dua rakaat kerana Allah Ta’ala.” (Cukup di dalam hati, ada perbahasan ulama’ tentang lafaz niat dlm ibadah - sila rujuk kpd pakar feqah)
  • Rakaat pertama membaca (disunatkan membaca doa Iftitah) kemudian surah Al-Fatihah. Selepas itu mana2 ayat atau surah dalam al-Quran.
  • Rakaat kedua membaca surah Al-Fatihah. Selepas itu mana2 ayat atau surah dalam al-Quran.
  • Semasa sujud akhir rakaat kedua, ucapkanlah Doa Nabi Yunus sebanyak 40 kali (bersungguh-sungguh di dalam hati memohon keampunan dari Allah Ta’ala),
  • 027alquran3.gif

    Ertinya: “Tidak ada Tuhan selain Engkau. Maha Suci Engkau Ya Allah, sesungguhnya aku adalah termasuk orang-orang yang zalim.”

  • Selepas salam, perbanyakkan istighfar seperti,

munajat1.jpg

Ertinya: Ampunilah hamba Ya Allah. Tuhan yang Maha Agung. Tiada Tuhan yang lain melainkan hanya Engkau. Dialah Tuhan yang Maha Hidup lagi Maha Perkasa dan hamba bertaubat kepada Engkau ya Allah.

  • dan berdoa dengan Penghulu Istighfar,

penghulu.jpg

Ertinya: “Ya, Allah Engkaulah Tuhanku, Tidak ada Tuhan selain Engkau, Engkaulah yang menjadikan aku. Sedang aku adalah hamba-Mu dan aku di dalam genggaman-Mu dan di dalam perjanjian setia ( beriman dan taat ) kepada-Mu sekuat mampuku. Aku berlindung kepada-Mu dari kejahatan yang telah ku lakukan. Aku mengakui atas segala nikmat yang telah Engkau berikan kepada ku dan aku mengaku segala dosaku. Maka ampunilah aku. Sesungguhnya tidak ada yang dapat mengampuni segala dosa kecuali Engkau.”

  • Kemudian boleh juga berdoa mengikut luahan hati dan munajat masing-masing ke hadhrat Allah.

Untuk pembacaan lanjut tentang taubat — http://nurjeehan.wordpress.com/tag/taubat/

———————————————————–

*Makruh tahrim - Petikan dari “170 Solat-Solat Sunat”, Abd Rahman Mukhlis, Terbitan Jasmin Enterprise, ms 8-9 ;

Fuqaha Syafi’iyah berpendapat bahawa makruh tahrim hukumnya melaksanakan sembahyang sunat tanpa sebab, dan sembahyang itu dipandang tidak sah jika dilakukan dalam lima waktu berikut:

  1. Selepas sembahyang Subuh yang dilaksanakan secara tunai (bukan sembahyang qadha’), hingga matahari menyingsing sepenggalah.

  2. Ketika matahari terbit hingga menyingsing seperti galah.

  3. Selepas melakukan sembahyang Asar yang dilaksanakan secara tunai sekalipun ia dijamak dengan Zuhur pada waktu Zuhur (jamak taqdim).

  4. Ketika matahari berwarna kuning, hingga terbenam seluruhnya.

  5. Ketika matahari benar-benar berada di atas kepala (di tengah-tengah langit) hingga gelincir ke Barat. Kecuali waktu Istiwa’ (matahari berada di tengah-tengah langit pada hari Jumaat.

Bagaimanapun, jika sembahyang yang dilakukan itu ada sebab yang mendahuluinya seperti sembahyang Tahiyyatul Masjid, walaupun khatib sudah berada di atas mimbar, sembahyang Sunat Wuduk dan sembahyang Sunat Tawaf sebanyak dua rakaat.

Begitu juga sembahyang yang mempunyai waktu terkait (muqayyad), seperti sembahyang Istisqa’ dan sembahyang Gerhana Matahari. Maka hukumnya adalah sah tanpa dimakruhkan, sebab ia terkait dengan turunnya hujan dan terhalangnya cahaya matahari.

Adapun melaksanakan sembahyang sunat ketika bilal qamat adalah makruh tanzih, kecuali ketika qamat sembahyang Jumaat. Sembahyang sunat yang dilakukan ketika bilal sudah qamat pada sembahyang Jumaat adalah haram hukumnya.

Solat Dhuha

Antara ibadat sunat yang dianjurkan dan menjadi amalan Rasullullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam sendiri ialah sembahyang sunat Dhuha.

Banyak hadis-hadis yang mengalakkannya dan menyatakan keutamaannya. Antaranya dalam riwayat Abu Hurairah katanya:-

Maksudnya :”Kekasihku Rasullullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam telah berwasiat kepadaku tiga perkara, aku tidak meninggalkannya, iaitu; supaya aku tidak tidur melainkan setelah mengerjakan witir, dan supaya aku tidak meninggalkan dua rakaat sembahyang Dhuha kerana ia adalah sunat awwabin, dan berpuasa tiga hari daripada tiap-tiap bulan”

( Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim )

Dalam riwayat yang lain Rasullullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam pernah bersabda yang maksudnya :

“Pada tiap-tiap pagi lazimkanlah atas tiap-tiap ruas anggota seseorang kamu bersedekah; tiap-tiap tahlil satu sedekah, tiap-tiap takbir satu sedekah, menyuruh berbuat baik satu sedekah,dan cukuplah ( sebagai ganti ) yang demikian itu dengan mengerjakan dua rakaat sembahyang Dhuha .”

( Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim )

Adapun kelebihan sembahyang Dhuha itu sepertimana di dalam kitab “An-Nurain” sabda Rasullullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam yang maksudnya :

“Dua rakaat Dhuha menarik rezeki dan menolak kepapaan.”

Dalam satu riwayat yang lain Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda yang maksudnya :

“Barangsiapa yang menjaga sembahyang Dhuhanya nescaya diampuni Allah baginya aku segala dosanya walaupun seperti buih dilautan.”

(Riwayat Ibnu Majah dan At-Tirmidzi)

Dan daripada Anas bin Malik Radhiallahu ‘anhu berkata :

“Aku mendengar Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam berkata : “Barangsiapa yang mengerjakan sembahyang sunat Dhuha dua belas rakaat dibina akan Allah baginya sebuah mahligai daripada emas”

(Riwayat Ibnu Majah dan Tirmidzi)

Waktu sembahyang Dhuha ialah dari naik matahari sampai sepenggalah dan berakhir di waktu matahari tergelincir tetapi disunatkan dita’khirkan sehingga matahari naik tinggi dan panas terik.

Cara menunaikannya pula adalah sama seperti sembahyang-sembahyang sunat yang lain iaitu dua rakaat satu salam. Boleh juga dikerjakan empat rakaat, enam rakaat dan lapan rakaat. Menurut sebahagian ulama jumlah rakaatnya tidak terbatas dan tidak ada dalil yang membatasi jumlah rakaat secara tertentu, sebagaimana sebuah hadis yang diriwayatkan oleh ‘Aisyah bermaksud :

“Adalah Nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam bersembahyang Dhuha empat rakaat dan menambahnya seberapa yang dikehendakinya.”

(Hadis riwayat Ahmad, Muslim dan Ibnu Majah)

Dalam sebuah hadis yang lain Nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda bermaksud :

”Barangsiapa yang menunaikan sembahyang sunat Dhuha sebanyak dua rakaat tidak ditulis dia daripada orang-orang yang tidak lalai daripada mengingati Allah dan barangsiapa yang menunaikan nya sebanyak empat rakaat ditulis akan dia daripada orang-orang yang suka beribadat dan barangsiapa yang menunaikannya sebanyak enam rakaat dicukupkan baginya pada hari tersebut, barangsiapa menunaikanyan sebanyak lapan rakaat Allah menulis baginya daripada orang-orang yang selalu berbuat taat, barang siapa yang menunaikannya sebanyak dua belas rakaat Allah akan membina baginya mahligai didalam syurga dan tidak ada satu hari dan malam melainkan Allah mempunyai pemberian dan sedekah kepada hamba-hambaNya dan Allah tidak mengurniakan kepada seseorang daripada hamba-hambaNya yang lebih baik daripada petunjuk supaya sentiasa mengingatiNya,”

( Riwayat At-Thabarani )

Manakala surah yang sunat dibaca selepas membaca Faatihah pada rakaat pertama ialah surah as-Syams dan rakaat kedua selepas membaca al-Faatihah disunatkan membaca surah adh-Dhuha.

Adapun niat sembahyang Dhuha ialah :

Ertinya : ” Sahaja aku sembahyang sunat Dhuha dua rakaat kerana Allah Taala”

Doa’ sembahyang Dhuha ialah:

Maksudnya : ” Ya Allah, bahawasanya waktu Dhuha itu waktu DhuhaMu,kecantikan itu ialah kecantikanMu, keindahan itu keindahanMu, kekuatan itu kekuatanMu, kekuasaan itu kekuasaanMu dan perlindungan itu perlindungan Mu. Ya Allah jika rezekiku masih diatas langit, turunkanlah dan jika ada di dalam bumi, keluarkanlah, jika sukar mudahkanlah, jika ia (dari yang) haram maka sucikanlah, jika masih jauh dekatkanlah, berkat waktu Dhuha, Keagungan, Keindahan, Kekuatan dan Kekuasaan Mu, limpahkanlah kepada hamba-hamba Mu yang saleh .

Wasalam

Ujian sebagai penilaian tentukan tahap kesyukuran manusia


Oleh Nawawi Subandi

APABILA ilmu seseorang bertambah, maka bertambah pula kerendahan hati dan belas kasihnya. Pertambahan ilmu meningkatkan semangat untuk terus menuntut ilmu kerana dia sentiasa mengerti bahawa dirinya kerdil memerlukan ilmu.

Jika amal seseorang itu bertambah, rasa takut pun akan mengiringinya dengan penuh berhati-hati. Oleh itu, dia terus berusaha gigih memperbanyakkan amalannya dan beristiqamah.

Jika bertambah umurnya, semakin berkurang ketamakan. Semakin bertambah harta kekayaannya, semakin dermawan dan mudah mengeluarkan sedekah. Tidak berasa bakhil dan kedekut di hatinya.

Jika seseorang bertambah kuasa, semakin dekat dan rendah dirinya terhadap orang kebanyakan. Dia datang ke khalayak ramai menghulurkan keperluan masyarakatnya. Semakin terpapar sifat tawaduknya.

Demikianlah serba sedikit tanda kebahagiaan hati seseorang manusia. Dia mengerti siapa dirinya dan di mana dia harus meletakkannya.

Ada juga yang apabila bertambah ilmunya, amalnya, bertambah pula kesombongan serta berasa cukup terhadap dirinya. Tidak lagi berburuk sangka terhadap dirinya. Meninggalkan muhasabah diri dan suka mengangkat muka terhadap amal orang lain.

Apabila bertambah umurnya, semakin bertambah pula kekalutannya mengumpul kekayaan. Jika bertambah kekayaan, bertambah pula kekikiran dan kebakhilan. Begitu juga kuasa dan pangkat yang menimbulkan rasa angkuh serta sombong.

Dia berasa dirinya cukup besar berbanding manusia kebanyakan. Dia mahu dirinya sentiasa dipandang tinggi lagi dihormati. Demikian sikap manusia yang sengsara hati dan jiwanya.

Hakikatnya, semua itu adalah cubaan dan ujian Allah SWT terhadap hamba-Nya, iaitu dengannya suatu kaum itu boleh menjadi bahagia, manakala sebahagian lainnya akan menjadi sengsara. Hidup ini penuh ujian dan cubaan, begitulah Allah SWT menghiasi kehidupan hamba-Nya.

Setiap yang diberikan, sama ada kekuasaan, kerajaan, nyawa, mahu pun harta, semuanya adalah termasuk dalam bentuk ujian. Nikmat juga termasuk dalam bentuk ujian daripada Allah SWT yang dengannya diperlihatkan sama ada seseorang itu mahu bersyukur atau kufur (mengingkari nikmat).

Allah SWT sentiasa menguji manusia sama ada dengan nikmat mahu pun musibah. Allah SWT berfirman bermaksud: "Adapun manusia apabila Tuhannya mengujinya lalu dia dimuliakan-Nya dan diberi-Nya kesenangan, maka dia akan berkata: Tuhanku sudah memuliakanku. Adapun apabila Tuhannya mengujinya lalu membatasi rezekinya maka dia berkata: Tuhanku menghinakanku. Sekali-kali tidak (demikian)." (Surah al-Fajr, ayat 15-17)

Realitinya, bukanlah setiap manusia yang diberi kemudahan, kenikmatan dan keluasan rezeki itu orang yang dimuliakan Allah SWT dan di atas jalan kebenaran. Bukan juga orang yang disukarkan rezeki baginya itu dia dihinakan dan dimurkai Allah SWT.

Allah SWT berfirman bermaksud: "Setiap yang berjiwa akan merasakan mati. Kami akan menguji dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan. Dan hanya kepada Kami-lah kamu kembali." (Surah al-Anbiya', ayat 35)

Firman Allah SWT lagi yang bermaksud: "Dan Kami bahagikan mereka di dunia ini menjadi beberapa golongan, antaranya ada orang yang soleh dan ada yang tidak demikian. Dan Kami uji mereka dengan nikmat yang baik-baik dan bencana yang buruk supaya mereka kembali (kepada kebenaran)." (Surah al-A'raaf, ayat 168).

Berita Harian Online

Sifat malu melambangkan nilai keimanan

Oleh Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

MALU antara sifat terpuji yang melambangkan ketinggian budi pekerti Muslim dan ketebalan imannya. Sifat malu juga satu petanda membuktikan iman itu bertapak kukuh dalam jiwa sanubarinya, sebaliknya mereka yang tidak mempunyai rasa malu bermakna sudah hilang imannya.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Malu dan iman itu adalah teman yang seiring jalan. Jika salah satu daripadanya terangkat (tiada), nescaya terangkat (tiada) juga yang satu lagi." (Hadis riwayat Muslim)

Sebenarnya, malu adalah sifat semula jadi diciptakan Allah SWT pada setiap insan. Ia dapat diperhatikan apabila seseorang manusia kemerahan wajahnya atau pipinya akibat malu selepas dimarahi atau melakukan sesuatu yang kurang sopan.

Ada juga manusia bermuka tebal sehingga tidak menghiraukan apa dilakukannya. Orang itu tidak mempunyai perasaan malu di sudut hatinya. Sifat malu diberi kedudukan istimewa dalam Islam.

Rasulullah bersabda bermaksud: "Sesungguhnya bagi setiap agama ada tatasusilanya atau ciri-ciri istimewanya, maka untuk Islam ialah sifat malu." (Hadis riwayat Malik)

Sehubungan itu, Sheikh Muhammad al-Ghazali dalam kitabnya Akhlak Muslim menjelaskan, dalam ajaran Yahudi pada zaman Nabi Musa AS ada ciri kekerasan dan dalam ajaran Masihi pada zaman Nabi Isa AS pula ada ciri kelembutan dan kelonggaran dalam kira bicaranya serta saling bermaaf-maafan.

Sementara Islam pula mempunyai sifat malu sebagai ciri keistimewaannya. Ringkasnya, sifat malu mempunyai kedudukan tinggi dalam Islam sehingga dijulang sebagai satu simbol melambangkan nilai keimanan dan kesusilaan seseorang Muslim, sekali gus mengisyaratkan betapa Islam adalah agama menganjurkan umatnya berakhlak mulia dan menjauhi sama sekali segala yang keji.

Rasulullah SAW adalah teladan terbaik dalam penampilan akhlak terpuji sehingga diperakui bahawa akhlak Rasulullah SAW terjemahan menyeluruh al-Quran. Sebenarnya, Rasulullah SAW adalah seorang yang amat pemalu dalam tingkah laku sehariannya.

Diriwayatkan oleh sahabatnya, Abu Sa'id al-Khudri yang bermaksud: "Rasulullah SAW adalah seorang yang sangat pemalu dan lebih pemalu daripada seorang anak dara dalam kelubungnya dan apabila Baginda melihat sesuatu yang tidak disukainya, nescaya kami dapat camkan yang demikian itu melalui wajahnya." (Hadis riwayat Muslim)

Justeru, wajarlah setiap Muslim menghiasi dirinya dengan sifat malu kerana sifat itu lambang kesempurnaan iman seseorang kepada Allah SWT. Lebih-lebih lagi, sifat malu mampu bertindak sebagai perisai atau benteng bagi seseorang Muslim terjerumus ke lembah kehinaan.

Malah, dengan sifat malu yang bertakhta kukuh dalam sudut hati berupaya memartabatkan individu Muslim sebagai Muslim yang kental imannya, luhur budi pekertinya, berdisiplin dan disenangi semua insan.

Sebaliknya, seandainya sifat malu terhapus dan tidak bertapak dalam hati seseorang, maka ia menjadi bibit virus atau penyakit yang mampu menggugat keimanan seseorang dan akhirnya dengan mudah terjerumus ke lembah kederhakaan kepada Allah SWT.

Mungkin ini bertepatan dengan peringatan keras Rasulullah SAW dalam sabda yang bermaksud: "Apabila Allah SWT kehendaki untuk membinasakan seseorang hamba, akan dicabut daripadanya perasaan malu. Maka apabila dicabut daripadanya sifat malu, dia akan dibenci orang dan bila dia dibenci orang, akan dicabut daripadanya sifat amanah. Apabila dicabut daripadanya sifat amanah, maka dia didapati sebagai seorang yang khianat dan dikhianati. Jika dia berada dalam keadaan yang sedemikian, akan dicabut pula daripada hatinya perasaan rahmat dan bila ia terjadi begitu, maka dia tidak akan berada melainkan dalam keadaan yang dilaknati dan dimurkai. Bila dia dilaknati dan dimurkai, bermakna terungkailah akhirnya tambatan Islam daripadanya." (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Akibatnya, berleluasa krisis sosial dan maksiat tanpa batasan dalam kehidupan manusia seperti diperhatikan dalam masyarakat hari ini. Kita melihat muda mudi tanpa segan silu bergandingan tangan dan berpelukan di khalayak ramai biarpun tidak mempunyai ikatan sah.

Malah, ada juga yang sudah terlanjur ke lembah perzinaan di mana akhirnya si gadis yang hamil terpaksa melakukan pengguguran terhadap anak yang dikandunginya secara haram.

Begitu juga, amalan rasuah yang semakin menjadi-jadi. Semuanya berpunca tidak lain tidak bukan kerana sifat malu tidak menjadi perhiasan wajib dalam diri seseorang Muslim. Pendek kata, sifat malu berupaya menghambat hawa nafsu dan menghalang daripada terjebak ke kancah kehinaan.

Berita Harian Online

Bermunajat agar suami kerjakan solat

Soalan:
Saya berusia 39 tahun, sudah berkahwin dan mempunyai empat anak. Anak sulung sudah mencecah umur 13 tahun. Sepanjang perkahwinan, suami saya tidak pernah menunaikan solat. Saya dan keluarga sudah letih menasihatkannya. Apabila tiba Ramadan, beliau berpuasa dan kadang-kadang solat tarawih, tetapi solat wajib diabaikan. Apakah hukum tindakan suami saya itu.

Hamba Allah
Pulau Pinang


Jawapan:
KEWAJIPAN solat termaktub dalam al-Quran yang bermaksud : "... maka dirikanlan solat. Sesungguhnya solat itu suatu kewajipan yang ditentukan waktunya ke atas orang mukmin." (An-Nisa':103)

Sabda Rasulullah maksudnya: "Sesiapa yang lupa akan sesuatu solat, hendaklah dia mengerjakan solat itu jika ia telah mengingatinya, tiada tebusan lain untuk solat itu kecuali solat yang dilupakannya, sesuai dengan firman Allah yang maksudnya: "Dan dirikanlah solat untuk mengingati-Ku." (Riwayat al-Bukhari)

Solat ialah tanda pertalian terus seorang hamba dengan Allah. Islam mewajibkan umatnya melaksanakan solat wajib sebanyak lima waktu sehari semalam.

Solat juga tiang agama. Oleh itu sesiapa yang mengerjakannya bermakna ia menegakkan agamanya, manakala orang yang meninggalkannya ia sudah meruntuhkan agamanya.

Oleh itu, bagi orang yang meninggalkan solat disebabkan malas atau sengaja hukumnya adalah fasik dan melakukan dosa besar iaitu mengabaikan salah satu daripada Rukun Islam.

Justeru, seperti ditetapkan oleh Islam, solat wajib mesti dilakukan dalam apa keadaan sekalipun, maka solat wajib yang ditinggalkan dianggap sebagai hutang yang mesti dilangsaikan seperti setiap hutang yang wajib dibayar.

Puan sebagai isteri wajib menasihati suami yang tidak menunaikan solat fardu dengan berhikmah secara berterusan.

Banyakkan berdoa dan bermunajat kepada Allah SWT agar suami puan diberi petunjuk dan hidayah agar kembali mengerjakan solat lima waktu khususnya untuk menjadi contoh kepada anak.

Berita Harian Online


Adam dan pohon Khuldi

Di dalam syurga terdapat banyak buah-buahan yang bermacam bentuk dan rasa. Semua buah-buahan itu boleh dimakan oleh Nabi Adam dan isterinya, Hawa. Terdapat juga sepohon pokok yang sangat besar iaitu pohon Khuldi.

Allah telah melarang Nabi Adam dan isterinya mendekati pokok itu, apatah lagi memakan buahnya. Tujuannya ialah untuk menguji ketaatan mereka terhadap Allah, di samping menahan hawa dan nafsu mereka. Dengan ketaatan mereka, Allah dapat memberi kesempatan untuk mereka terus tinggal di dalam syurga untuk bersenang-lenang dan bersuka ria.

Allah memberikan peringatan kepada Nabi Adam dan isterinya supaya menjauhkan diri daripada iblis. Jangan menurut kata dan ajakan iblis kerana iblis sudah terang-terangan menyatakan dirinya sebagai musuh Nabi Adam dan keturunannya buat selama-lamanya.

Iblis juga sedaya upaya berusaha siang dan malam tanpa rasa jemu dan berputus asa, untuk menjauhkan Nabi Adam dan keturunannya daripada terus hidup dalam kebahagiaan.

Allah berfirman kepada Nabi Adam, "Wahai Adam! Iblis itu adalah musuhmu dan musuh isterimu. Dia akan selalu menggoda engkau berdua agar engkau berdua terusir pula dari syurga ini sehingga engkau hidup sengsara. Di syurga inilah engkau berdua akan dapat hidup bahagia, tidak akan menderita lapar dan susah".

Bagaimanapun, keimanan Adam dan Hawa sedikit sebanyak telah tergugat apabila digoda oleh iblis. Iblis yang iri hati sentiasa mencari peluang untuk menyesatkan mereka berdua dengan cubaan berpura-pura baik.

Ia memberi nasihat kepada Nabi Adam dan Hawa sekiranya mereka makan buah Khuldi tersebut, mereka akan menjelma sebagai malaikat. Ia juga menggoda mereka dengan menceritakan kelazatan buah Khuldi dan keharuman pohonnya.

Kata-kata itu membuat Nabi Adam dan Hawa terasa ingin mencubanya walaupun telah ditegah oleh Allah SWT. Akhirnya mereka makan juga buah Khuldi itu.

Lalu Allah mencela mereka dengan firman-Nya yang bermaksud, "Tidakkah Aku mencegah kamu mendekati pohon itu dan memakan buahnya dan tidakkah Aku telah ingatkan kamu bahawa syaitan itu adalah musuhmu yang nyata?"

Nabi Adam dan Hawa yang mendengar firman Allah itu berasa amat menyesal. Mereka sedar yang mereka telah melakukan dosa besar. Lalu mereka berkata, "Ya Allah, kami telah menganiaya diri kami sendiri dan telah melanggar perintah-Mu kerana terpedaya dengan pujukan iblis. Ampunilah dosa kami, kalau tidak kami akan tergolong dalam golongan orang-orang yang rugi".

Utusan Malaysia Online

Mukmin diingat supaya tak tangguh bertaubat

Oleh: Nik Salida Suhaila Nik Saleh

SUDAH namanya manusia, sering melakukan kesilapan dan kesalahan. Ada disengaja, ada pula tidak disedari, tetapi akhirnya membuatkan seseorang berasa disakiti. Tidak terkecuali ada yang suka mempersenda hukum Ilahi, terlupa tiba masanya kita perlu berserah pada Empunya segala-galanya.

Kala itu, usah berasa terlambat, kerana kita sememangnya ketinggalan daripada orang lain yang puas memungut rahmat dan berkat kehidupan untuk dibawa sebagai bekalan kemudian hari.

Kehidupan di dunia penuh dugaan dan cabaran memungkinkan kita berbuat apa saja untuk memuaskan nafsu tidak baik, kadangkala hasad dengki membelenggu hati hingga tidak dapat menerima hakikat kelebihan orang lain.

Dunia ini penuh dengan permainan melalaikan, walau cuba mengawal diri daripada tipu daya, ada kalanya kita tertewas juga apatah lagi jika balasannya lambat tiba, tidak berasa janji Allah itu akan sampai akhirnya.

Firman Allah bermaksud: "Dan tidak dinamakan kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan melalaikan dan demi sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang yang bertakwa. Oleh itu tidakkah kamu mahu berfikir?" (Surah al-An'am, ayat 32)

Benar manusia boleh dibohongi tetapi bukan Dia Yang Maha Kuasa. Sebab itulah negeri akhirat itu pasti, kepada yang tidak mensia-siakan kehidupan di dunia dengan kezaliman terhadap diri sendiri, pastilah kegembiraan ditunggu bagai tidak sabar dirasai, tetapi jika sebaliknya tentulah balasannya tidak tertanggung.

Akal dikurniakan Allah untuk berfikir supaya kita tidak mengulangi kesalahan sama berulang kali, sehingga menggagalkan misi dan visi sebagai hamba di dunia ini. Mana yang hak dan mana yang batil, usaha sendiri memilihnya, apa yang halal dan apa yang haram pula jangan dikompromi sehingga menjadikan hati kita buta.

Walaupun mencuba menjadi hamba yang baik dan taat, kadangkala kita lalai serta terlupa. Kata hati rupanya tidak semuanya memihak kepada kebenaran, bahkan ada kalanya membuka pekung di dada. Justeru, segala keterlanjuran jangan sampai kita tidak bertaubat, jika di akhirat ingin selamat.

Menyesali dosa yang dilakukan dan berazam bersungguh-sungguh untuk tidak mengulanginya adalah usaha perlu dilakukan jika benar-benar ingin bertaubat. Usah dikenang masa lalu jika itu membuatkan kita terus 'merindui' kejahatan dan kemaksiatan, sebaliknya kenanglah ia sebagai pengajaran tidak mungkin berulang.

Allah berfirman bermaksud: "Wahai orang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan 'taubat nasuha', mudah-mudahan Allah akan menghapuskan kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai." (Surah At-Tahriim, ayat 8)

Jangan pula taubat dipermainkan dengan mengulangi dosa dan kemungkaran. Sesiapa yang ingin bertaubat mesti menyesali dosa yang sudah dilakukan dan bertekad untuk tidak mengulanginya. Inilah dikatakan menyucikan diri, menghilangkan segala kotoran terlekat di hati mudah-mudahan kebaikan itu mendorong kepada pembersihan jiwa sebenar.

Kita juga harus berjanji mengelak daripada melakukan dosa selagi hidup melainkan jika tidak disedari. Seboleh-bolehnya hidup hendaklah dipandu dengan garis panduan dimuktamadkan Allah dan Rasul-Nya yang sememangnya membantu kita menggapai kebahagiaan hakiki serta abadi.

Segala bentuk maksiat dan ingkar terhadap perintah Allah hendaklah dimohon keampunan dengan taubat dan sebarang bentuk penganiayaan terhadap orang lain, walau apa juga bentuknya perlulah disertai kemaafan serta mengembalikan hak yang diambil.

Jika ia fitnah, bayarlah dengan membersihkan nama baiknya dan jika harta yang diambil, lunaskan dengan mengembalikan miliknya atau minta dihalalkan. Apabila hati sudah memperoleh cahaya, segala dosa ingin dibersihkan dengan rela, inilah masanya kita perlu terus berusaha.

Penangguhan akan memungkinkan seribu tragedi yang boleh menggagalkan hasrat pengampunan kita daripada Yang Esa. Usahlah ditangguh peluang, kerana ajal bila-bila masa akan datang dan syukurlah jika sempat menyedari dosa dan kejahilan serta tekad tidak akan mengulanginya.

Firman Allah bermaksud: "Dan tidak ada gunanya taubat itu kepada orang yang selalu melakukan kejahatan hingga apabila salah seorang dari mereka hampir mati, berkatalah ia: Sesungguhnya aku bertaubat sekarang ini, sedang taubatnya itu sudah terlambat. Dan demikian juga halnya orang yang mati sedang mereka tetap kafir. Orang yang demikian Kami sediakan bagi mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya." (Surah an-Nisaa', ayat 18)

Mengingati bahawa hidup ini hanya sementara, maka perlulah berhati-hati apabila berbuat dan berkata, bimbang jika ada hati terluka. Bukan mudah meminta ampun atas segala dosa kerana hati yang disakiti lukanya sukar sembuh, bahkan parutnya pasti akan mengingatkan segala.

Sungguhpun begitu, selagi ada usia, selagi itulah pintu taubat sentiasa terbuka. Jangan kita sombong dan malu memohon ampun dan maaf daripada sesiapa, bahkan Allah Maha Pengampun terhadap hambanya.

Firman Allah bermaksud: "Dan sesiapa yang melakukan kejahatan atau menganiaya dirinya sendiri dengan melakukan maksiat kemudian ia memohon ampun kepada Allah nescaya ia akan mendapati Allah Maha Pengampun Lagi Maha Mengasihani." (Surah an-Nisaa, ayat 110)

Paling penting, jangan berputus asa, jika kita benar-benar mengharapkan rahmat-Nya, lakukan seberapa terdaya, selagi tidak menutup mata, mohonlah keampunan-Nya kerana pintu taubat sentiasa terbuka.

Firman Allah bermaksud: "Dan Dialah Tuhan yang menerima taubat daripada hamba-Nya yang bertaubat serta memaafkan kejahatan yang mereka lakukan dan Ia mengetahui akan apa yang kamu semua kerjakan." (Surah Asy-Syuura, ayat 25)

+++Penulis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-undang Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)

Fana

1. Pengertian Fana

Kebanyakan kitab-kitab tua seperti Kitab Syarah Hikam Ibni Athoillah As-Kandariah, Kitab Manhal-Shofi, Kitab Addurul-Nafs dan lain-lain menggunakan istilah-istilah seperti 'binasa' dan 'hapus' untuk memperihalkan tentang maksud fana. Ulama-ulama lainnya yang banyak menggabungkan beberapa disiplin ilmu lain seperti falsafah menggunakan istilah-istilah seperti 'lebur', 'larut', 'tenggelam' dan 'lenyap' dalama usaha mereka untuk memperkatakan sesuatu tentang 'hal' atau 'maqam' fana ini.

Di dalam Kitab Arrisalah al-Qusyairiah disebutkan erti fana itu ialah;

Lenyapnya sifat-sifat basyariah(pancaindera)

Maka sesiapa yang telah diliputi Hakikat Ketuhanan sehingga tiada lagi melihat daripada Alam baharu, Alam rupa dan Alam wujud ini, maka dikatakanlah ia telah fana dari Alam Cipta. Fana bererti hilangnya sifat-sifat buruk (maksiah lahir dan maksiat batin) dan kekalnya sifat-sifat terpuji(mahmudah). Bahawa fana itu ialah lenyapnya segala-galanya, lenyap af'alnya/perbuatannya(fana fil af'al), lenyap sifatnya(fana fis-sifat), lenyap dirinya(fan fiz-zat)

Oleh kerana inilah ada di kalangan ahli-hali tasauf berkata:

"Tasauf itu ialah mereka fana dari dirinya dan baqa dengan Tuhannya kerena kehadiran hati mereka bersama Allah".

Sahabat Rasulullah yang banyak memperkatakan tentang 'fana' ialah Sayyidina Ali, salah seorang sahabat Rasulullah yang terdekat yang diiktiraf oleh Rasulullah sebagai 'Pintu Gedung Ilmu'. Sayyidina Ali sering memperkatakan tentang fana. Antaranya :

"Di dalam fanaku, leburlah kefanaanku, tetapi di dalam kefanaan itulah bahkan aku mendapatkan Engkau Tuhan".

Demikianlah 'fana; ditanggapi oleh para kaun sufi secara baik, bahkan fana itulah merupakan pintu kepada mereka yang ingin menemukan Allah(Liqa Allah) bagi yang benar-benar mempunyai keinginan dan keimanan yang kuat untuk bertemu dengan Allah(Salik). Firman Allah yang bermaksud:

"Maka barangsiapa yang ingin akan menemukan dengan Tuhannya maka hendaklah ia mengerjakan amalan Sholeh dan janganlah ia mempersekutukan siapapun dalam beribadat kepada Allah (Surah Al-Kahfi:)

Untuk mencapai liqa Allah dalam ayat yang tersebut di atas, ada dua kewajiban yang mesti dilaksanakan iaitu:

* Pertamanya mengerjakan amalan sholeh dengan menghilangkan semua- sifat-sifat yang tercela dan menetapkan dengan sifat-sifat yang terpuji iaitu Takhali dan Tahali.
* Keduanya meniadakan/menafikan segala sesuatu termasuk dirinya sehingga yang benar-benar wujud/isbat hanya Allah semata-mata dalam beribadat. Itulah ertinya memfanakan diri.

Para Nabi-nabi dan wali-wali seperti Sheikh Abu Qasim Al-Junaid, Abu Qadir Al-Jailani , Imam Al-Ghazali, Ab Yazid Al-Busthomi sering mengalami keadaan "fana" fillah dalam menemukan Allah. Umpamanya Nabi Musa alaihisalam ketika ia sangat ingin melihat Allah maka baginda berkata yang kemudiannya dijawab oleh Allah Taala seperti berikut;

"Ya Tuhan, bagaimanakah caranya supaya aku sampai kepada Mu? Tuhan berfirman: Tinggalkan dirimu/lenyapkan dirimu(fana), baru kamu kemari."

2. Kata-kata Hikmah Dari Wali-wali Allah yang telah mengalami FANA

Ada seorang bertanya kepada Abu Yazid Al-Busthomi;

* "Bagaimana tuan habiskan masa pagimu?". Abu Yazid menjawab: "Diri saya telah hilang(fana) dalam mengenang Allah hingga saya tidak tahu malam dan siang".
* Satu ketika Abu Yazid telah ditanyai orang bagaimanakah kita boleh mencapai Allah. Beliau telah menjawab dengan katanya:
* "Buangkanlah diri kamu. Di situlah terletak jalan menuju Allah. Barangsiapa yang melenyapkan(fana) dirinya dalam Allah, maka didapati bahawa Allah itu segala-galanya".
* Beliau pernah menceritakan sesuatu tentang fana ini dengan katanya;
* Apabila Allah memfanakan saya dan membawa saya baqa dengaNya dan membuka hijab yang mendinding saya dengan Dia, maka saya pun dapat memandangNya dan ketika itu hancur leburlah pancainderaku dan tidak dapat berkata apa-apa. Hijab diriku tersingkap dan saya berada di keadaan itu beberapa lama tanpa pertolongan sebarang panca indera. Kemudian Allah kurniakan saya mata Ketuhanan dan telinga Ketuhanan dan saya dapat dapati segala-galanya adalah di dalam Dia juga."

Al-Junaid Al-Bagdadi yang menjadi Imam Tasauf kepada golongan Ahli Sunnah Wal-Jamaah pernah membicarakan tentang fana ini dengan kata-kata beliau seperti berikut:

* Kamu tidak mencapai baqa(kekal dengan Allah) sebelum melalui fana(hapus diri)
* Membuangkan segala-galanya kecuali Allah dan 'mematikan diri' ialah kesufian.
* Seorang itu tidak akan mencapai Cinta kepada Allah(mahabbah) hingga dia memfanakan dirinya. Percakapan orang-orang yang cinta kepada Allah itu pandangan orang-orang biasa adalah dongeng sahaja.

3. Himpunan Kata-kata Hikmat Tentang Fana

A. Sembahyang orang yang cinta (mahabbah) ialah memfanakan diri sementara sembahyang orang awam ialah rukuk dan sujud.

B. Setengah mereka yang fana (lupa diri sendiri) dalam satu tajali zat dan kekal dalam keadaan itu selama-lamanya. Mereka adalah Majzub yang hakiki.

C. Sufi itu mulanya satu titik air dan menjadi lautan. Fananya diri itu meluaskan kupayaannya. Keupayaan setitik air menjadi keupayaan lautan.

D. Dalam keadaan fana, wujud Salik yang terhad itu dikuasai oleh wujud Allah yang Mutlak. Dengan itu Salik tidak mengetahui dirinya dan benda-benda lain. Inilah peringkatWilayah(Kewalian). Perbezaan antara Wali-wali itu ialah disebabkan oleh perbezaan tempoh masa keadaan ini. Ada yang merasai keadaan fana itu satu saat, satu jam, ada yang satu hari an seterusnya. Mereka yang dalam keadaan fana seumur hidupnya digelar majzub. Mereka masuk ke dalam satu suasana dimana menjadi mutlak.

E. Kewalian ialah melihat Allah melalui Allah. Kenabian ialah melihat Allah melalui makhluk. Dalam kewalian tidak ada bayang makhluk yang wujud. Dalam kenabian makhlik masih nampak di samping memerhati Allah. Kewalaian ialah peringakat fana dan kenabian ialah peringkat baqa

F. Tidak ada pandangan yang pernah melihat Tajalinya Zat. Jika ada pun ia mencapai Tajali ini, maka ianya binasa dan fana kerana Tajali Zat melarutkan semua cermin penzohiran. Firman Allah yang bermaksud :

Sesungguhnya Allah meliputi segala-galanya.(Surah Al-Fadhilah:54)

G. Tajali bererti menunjukkan sesuatu pada diriNya dalam beberapa dan berbagai bentuk. Umpama satu biji benih menunjukkan dirinya sebgai beberapa ladang dan satu unggun api menunjukkan dirinya sebagai beberapa unggun api.

H. Wujud alam ini fana (binasa) dalam wujud Allah.Dalilnya ialah Firman Allah dalam Surah An-Nur:35 yang bermaksud;

"Cahaya atas cahaya, Allah membimbing dengan cahayanya sesiapa yang dikehendakinya." dan "Allah adalah cahaya langit dan bumi."

I. Muraqobah ialah memfanakan hamba akan afaalnya dan sifatnya dan zatnya dalam afaal Allah, sifat Allah dan zat Allah.

J. Al-Thomsu atau hilang iaitu hapus segala tanda-tanda sekelian pada sifat Allah. Maka iaitu satu bagai daripada fana.

5. Tajuk-tajuk yang berkaitan dengan Fana

* Mikraj Muhammad
* Alamat Sampai Kepada Maqam Yang Tinggi

4. Pesanan Dari Suluk

Hakikat tidak akan muncul sewajarnya jika syariat dan thorikat belum betul lagi kedudukannya. Huruf-huruf tidak akan tertulis dengan betul jika pena tidak betul keadaannya.

Dari itu saudara-saudaraku anda seharusnya banyak menuntut dan mendalami ilmu-ilmu agama yang berkaitan dengan syariat , usuluddin dan asas tasauf untuk mendekatkan diri dengan Allah .

Dipetik daripada: http://www.angelfire.com/journal/suluk/fana.html

Adab Dzikir Berjamaah, Cara Khusyu Dalam Berdzikir


Diambil dan disarikan dari Sohbet Sultyhanul Awliya Mawlana Syaikh Nazim an-Naqshbandi qs, dari Adab Dzikir Syaikh Abdul Khalik al-Gujdwani qs, Abdul Wahab as-Syaroni qs

Audzu billahiminas syaithonir rojim, Bismillahir Rohmaa nir Rohim
Allahumma sholli ala Sayidina Muhammad wa alaa ali Sayidina Muhammad saw

Ada 20 Adab dalam berdzikir, yang terbagi dalam Lima adab sebelum dzikir, 12 adab selama berdzikir dan 3 adab setelah dzikir

Lima adab sebelum Berdzikir :

1. Bertaubat ( astagfirullah ha adzim wa atubu ilaykh)
2. Mandi Tobat, atau mengambil wudhu
3. Memakai pakaian halal dan bersih, pakaian putih menolak energi negatif. meskipun di dzikir naqshbandi bukan kewajiban untuk pakai putih, bebas warnanya.
4. Menyatukan diri bersama Syaikh Mursyid ( dalam seri meditasi dikatakan mahabah, hudur kemudian fana). Fana fi syaikh, fana fi rasul fana fillah.
5. Mulai menyendiri untuk berdzikir kalbu ( Allah...Allah sesuai detak jantung. Dalam Buku Meditasi Sufi disebut Soul Meditation)

12 Adab Selama Berdzikir

1. Duduk ditempat yang bersih (sajadah)
2. Memejamkan mata selama dzikir untuk menutup indra lahiriah menuju indra batiniah
3. Menggelapkan ruangan dan pilih tempat dzikir yang tidak berisik, suasana tenang
4. Mewangikan mengharumkan ruang akan menolak energi negatif, dan pakailah wewangian disekujur tubuh dan pakaian kita. Harumkan mulut dengan Siwak, untuk mengeluarkan enrgi negatif dari mulut.

5. Menyatukan diri dengan Mursid ( selalu membayangkan kehadiran mursid dan ini adab yang sangat ditekankan, menyatukan koneksi diri dengan Syaikh Mursyid yang Wali Allah, berarti menyatukan diri dengan Rasulullah saw, hal ini yang menyebabkan kita menjadi khusuk, pikiran kita bukan pikiran kita lagi.

Ketika pikiran buruk menyelinap lagi, maka ucapkan audzubillah himinas syatonir rojim. Ketika solat dan dzikir sering pikiran buruk menghinggapi kita, maka Sulthanul Awliya Mawlana Syaikh Nazim qs dan Mawlana Syaikh Hisyam qs berulang mengatakan untuk mengucapkan Audzubillah himinas syaithonir rojim dan Bismillahir Rohmaanir Rohim 40 x sehari ( Baca buku Awas Setan tulisan Mawlana Syaikh Nazim qs, di Haqqani Sufi Institut Indonesia d/a Rumi Cafe, Jl Iskandarsyah Raya Kav 12 No 3B, Jakarta Selatan).

6. Mengucapkan dzikir La ilaha ilallah sesuai dengan bacaan Qur'an, baca bacaan dzikir dengan ikhlas karena hal ini merupakan kekuatan pembersihan hati, dan baca dengan benar dengan penuh kesungguhan. Memahami setiap kata-kata dzikir dengan satu hati disetiap ketukan irama dzikir.

7. Duduk seperti tasyahud awal atau bila tidak kuat boleh dengan duduk bersila. Duduk dengan adab pertama lebih tinggi nilainya.

8. Tangan membentuk Allah, dimana jari telunjuk dan ibu jari disatukan, kaki dirapatkan
9. Ketika dzikir sendiri maka menghadap kiblat, sedangkan ketika berjamaah maka membentuk lingkaran. Pria dengan pria, wanita dengan wanita.

10. Ketika Dzikir Berjamaah maka suara dikeluarkan dengan keras tetapi lembut/halus dan tidak mengeraskan melebihi imam dzikir, sehingga tetap bisa mendengarkan ketika imam dzikir mengganti setiap perubahan jenis dzikir Asma Allah. Kekerasan suara akan mengisi setiap sel ditubuh kita dengan Asma Allah dan salawat, maka energi yang dihasilkan bergantung juga dengan niat kita ketika mengeraskan dzikir. Maksudnya adalah jangan malas dengan bersuara seadanya tidak dengan semangat. Kerjakan dengan Ikhlas.

11. Menolak apapun selain Allah.
12. Jangan berdzikir seperti yg kita sukai tetapi berdzikirlah sesuai apa yg Syaikh ajarkan dan yang Syaikh sukai. Karena segala yang Syaikh sukai berarti berasal dari qalbu Rasulullah saw. Maka dalam hadist dikatakan berdzikirnya murid dengan guru-gurunya. Mawlana Syaikh Nazim qs dan Mawlana Syaikh Hisham qs adalah orang yang ikhlas maka ketika kita berdzikir dengan beliau, bagaikan broadcast yang besar yang akan membawa keseluruhan murid-murid beliau.

Tiga Adab setelah Dzkir

1. Diam sejenak setelah dzikir dengan Khusyu dan tetap tawadhu, tafakur setelah dzikr bernilai seperti 30 tahun Riyadoh, seperti 30 Tahun mujahadah. Laporkan setiap inspirasi yang datang selama dzikir hanya kepada syaikh, diam sejenak ini adalah menunggu warid/ilham ilahiah dari wirid (dzikir) yang kita bacakan.

2. Tahan antara 3 hingga 7 tarikan nafas, bersihkan diri kita dengan Hu Allah Hu. Untuk membuang / membersihkan dan memutuskan setiap karakter buruk dan inspirasi vison dari syaithan. Kerjakan hal ini setidaknya 7 kali dan nantinya semakin lama semakin panjang.

3. Tidak segera meminum minuman, karena panasnya dzikir sedang membersihan kekotoran hati kita, sedang menyemir dan mengkilapkan hati kita.Tunggulah antara 10-15 menit barulah bisa minum.

Adab ini juga bisa dilakukan selama Hadrah. Bihurmati Habib, bi Hurmati Sulthanul Awliya Mawlana Syaikh Nazim qs, Bihurmati Mawlana Syaikh HIsham Kabbani qs, Fatihah.

Wa min Allah at Tawfiq

wasalam, arief hamdani
www.rumicafe. blogspot. com
HP. 0816 830 748, 08881335003

Pelamin Anganku Musnah: sebuah kisah benar

(Catatan ini ditulis Anakanda Rafidah A.Ghani, pertama kali terpapar di Kemsas; disiar semula sebagai kesungguhan kita menikmati makna sebuah kehidupan anugerah Ilahi yang jarang sekali diberikan kepada semua manusia.)

Dalam hidup ini sesungguhnya terlalu banyak tabir rahsia yang kekadang terlalu lama kita ketemukan jawabannya. Sering kita bertanya pada diri, pada angin lalu yang berhembus atau pada rembulan di puncak cakerawala persoalan demi persoalan. Aku pernah bertanya pada suatu senja di pelabuhan, bilakah gerangan aku akan jatuh cinta. Bilakah detiknya seru jodohku akan menghampir mengetuk pintu hati yang telah bertahun kesepian. Pencarian demi pencarian kulewati dari satu persimpangan ke satu persimpangan lain.Berbagai wajah yang kutemui, kukenal ragam dan tingkahnya namun sia-sia semua pertemuan itu hanya sekadar di pinggiran. Hinggalah akhirnya aku menemui cintaku dalam cara yang paling manis.

Dia yang kukenal sesungguhnya 14 tahun lebih dewasa dariku. Dia yang kukenal sesungguhnya 14 tahun lebih awal dilahirkan daripadaku. Hanya kerana sebuah karyaku yang terbit di akhbar tempatan maka ikatan demi ikatan pun bermula. Dari biodata yang kulampirkan di sisi karya ternyata rupanya ia adalah tali jodoh buatku. Dia menjejakiku melalui alamat yang kulampirkan merentasi puncak kimanis yang begitu mengujakan. Ternyata kami berkongsi hari lahir Cuma tahunnya sahaja yang berbeza. Pertemuan pertama itu seterusnya membuahkan pertemuan kedua dan akhirnya kami sepakat untuk mengikat tali pertunangan. Tanggal 31 Mei 2008 mentari pun tersenyum riang saat cincin pertunangan tersemat di jari.

Sesungguhnya aku pernah ada impian manis untuk menjadi puteri yang berbahagia di atas singgahsananya saat disatukan dengan putera pilihan hati. Aku pernah memiliki sebuah angan-angan indah untuk disandingkan di atas pelamin yang cantik dan menarik. Aku pingin duduk anggun dan santun mendengar palu kompang. Aku ingin majlis perkahwinanku meriah walau sederhana. Untuk itu, bukan saja aku malah seluruh jurai keluarga berusaha melakukan yang terbaik memandangkan inilah perkahwinan pertama dalam keluarga. Seminggu sebelum majlis gemilang itu berlangsung, kelihatan langit cerah, awan berarak tanpa membawa kabar musibah dan angin berhembus seperti tiada menyimpan apa-apa rahsia.

Sehari sebelum majlis pernikahanku, hujan turun tanpa diduga. Lebat, deras dan tanpa henti hingga mengundang amukan sungai Padas. Bermulalah hari pertarunganku dengan alam. Hujan tetap lebat dan lebat hingga secara mendadak air sungai padas mencapai tahap bahaya. Tuhan hentikanlah hujan ini dan berikanlah aku satu keajaiban kerana esok adalah hari pernikahanku. Doaku tidak pernah putus malam itu dan rintik hujan tetap kuat mengeluarkan air matanya.

14.mac 2009, akhirnya detik itu muncul juga. Detik pernikahan yang sudah sekian tahun kunanti kehadirannya. Tepat jam 2 petang tok kadi yang akan menikahkan aku dengan bakal suami tidak juga muncul. Rupanya jalan perhubungan ke pekan Tenom telah benar-benar terputus gara-gara banjir. Lalu, tok kadi tersebut terpaksa dijemput menggunakan bot. Ketika tok kadi sampai, bajunya lencun dengan air banjir dan manik-manik peluh di dahi. Hanya tuhan saja yang tahu perasaanku ketika itu. Kak Long ku dari Tambunan, Abang Long dari Tawau dan Abang Ngah di Kota- Kinabalu tidak juga muncul-muncul. Aku ingin benar menangis saat itu. Namun entah mengapa hanya duka bercempara tanpa air mata.

Selesai diijabkabulkan aku segera menukar baju dan memujuk suami yang baru beberapa minit menikahiku agar membawa aku melihat air banjir. Aku sekadar ingin melihat sejauh mana Sungai padas menghantar kesedihan itu kepadaku. Kami pun melalui jalan-jalan kampung yang sepi dan sunyi. Ketika sampai di jalan batu 2 perjalanan tersekat dek air bah yang mengalir deras. Seperti sebuah perarakan berpuluh-puluh buah kereta terasdai di tepi jalan dengan wajah yang lainnya muram. Aku tahu di hujung air bah itu berdirinya tiga orang saudara kandungku dengan mata beku memandang sebuah bencana yang tak diduga. Kami tidak dapat berdakapan sekadar masing-masing menggeleng kepala.

Aku tidak memaksa tiga orang saudaraku itu untuk meneruskan perjalanan pulang ke kampung. Aku tidak marah bila melihat mereka berpatah menuju kembali Ke Pekan Tenom. Mereka sempat menghantar sms, malam ini mereka menginap di hotel perkasa. Insyallah, bila air surut besok mereka akan segera pulang melihat persandinganku. Namun aku menerima lagi sebuah berita malang pekan Tenom dinaiki air hingga menyebabkan berlakunya tanah runtuh di kawasan Hotel Perkasa tempat saudara-saudara kandungku menginap. Akhirnya mereka mengambil keputusan meninggalkan pekan Tenom menuju Kota Kinabalu kerana sepertinya sudah tidak ada lagi tempat yang selamat di daerah ini.

Aku pulang ke rumah dengan rasa sesak dan terseksa. Beberapa minit setibanya di rumah, berlaku pula tanah runtuh di jalan batu 6 hingga menyebabkan jalan raya terputus. Aku tetap ingin melihat di depan mata sendiri kejadian demi kejadian itu. Suami yang begitu taat membawa aku melihat alam yang memberontak. Ya Allah ujian apakah lagi yang kau kirim ini. Aku mohon Ya Allah apa pun ujian yang Engkau berikan sertakanlah dengan ketabahan agar aku kuat menghadapi semuanya. Tanah runtuh di depan mataku ini kelihatan seperti sebuah rumah banglo dua tingkat yang begitu perkasa betul-betul di tengah jalan raya. Kata beberapa orang, untuk mengalihkan tanah sebesar ini memakan masa berhari-hari. Lalu terputuslah hubungan penduduk Kg Saga dan sekitarnya dengan Pekan Tenom.

Lebih memburukkkan keadaan, bekalan elektrik dan telefon terputus. Air banjir semakin deras mengalir. Malam berzanzi kunantikan majlis itu dengan penuh debar dan harapan. Lapan malam berlalu namun tiada seorang pun yang hadir untuk majlis itu. Aku maklum mereka masing-masing menyelamatkan diri. Akhirnya jam 9.30 malam dari jauh kulihat suluhan pelita. Beberapa orang kampung datang dengan memakai baju hujan dan berakit. "Kita teruskan saja majlisnya dik" Kata abang Aslam Bujing yang sudah kuanggap seperti abang kandungku sendiri. Kerana bekalan elektrik terputus, maka majlis itu berlangsung dengan cahaya lilin.

Belum pun selesai majlis, tiba-tiba kawasan rumahku yang boleh dikatakan tinggi dinaiki air. Suara orang berteriakan menyelamatkan diri tanpa mempedulikan lagi sepasang mempelai di atas singgahsana. Air berwarna coklat naik dan terus naik hingga pelaminku direbus bersama hatiku yang nanar. Hancur semuanya. Bunga-bunga telurku hanyut dan bersangkutan di atas kayu-kayu balak yang melintasi halaman. Luluh hatiku melihat papa dan mama yang berendam dengan air banjir semata- mata untuk menyelamatkan barang – barang dari hanyut. Aku tetap tidak menangis kerana sepertinya kecewa yang terlalu dalam ini menenggelamkan tangisanku.

Aku pernah berangan-angan untuk dipasangkan inai di jari dan di lumur bedak pada seluruh badan. Namun semua itu tidak kunikmati seperti pengantin lain. Tepat jam 12 malam ketika aku pura-pura lena, suami membangunkan tidurku.

"Yang, mari kita berinai." Aku bangun dan suamiku yang terkasih itu memakaikan inai dijari ini. Kami berinai untuk diri sendiri berteman lilin. Hinggalah seorang tua bernama Mak Yam melihat kami dia pun menangis dan membetulkan inai-inai yang tidak begitu cantik kedudukannya. Anak-anak buahku Gg, Doremon dan Kimi hingga subuh menemani kami. Terima kasih, kalian adalah anak-anak yang baik.

15. mac hari persandinganku muram. Pelamin yang kelihatan comot akibat direbus air banjir dipasang juga. Aku bersanding dengan disaksikan tidak sampai 2o orang. Lauk pauk yang lebih dihantar ke pusat pemindahan. Kek kahwin yang kutempah tidak dapat diambil kerana terputus perhubungan dengan pekan Tenom.Begitu tragisnya perkahwinanku hingga ke saat ini pun aku masih merasai sakitnya. Tapi aku yakin setiap yang berlaju ada hikmahnya. Allah tidak akan menguji umatnya melebih dari tahap kemampuan mereka. Aku yakin dengan itu.

Setelah air surut, kami menghabiskan sisa cuti di Ranau. Tiba-tiba ada panggilan telefon yang meminta kami segera pulang ke Kota- Kinabalu. Rakan setugas Suamiku di CIMB cawangan Inanam membuat satu kejutan. Mereka merayakan majlis perkahwinan kami di Shangrila Tanjung Aru Resort. Dengan cahaya neon, lagu-lagu instrumental, ucapan-ucapan tahniah dan hadiah membuat aku terkesima. Wah, siapa sangka ada juga insan yang sudi memberikan hadiah yang begitu mahal harganya. Lihatlah begitu agung dan adilnya Allah. Majlis perkahwinanku di Tenom hancur tapi Dia menggantikan dengan majlis lain yang tidak pernah aku bayangkan dalam diari hidup.

Kemudian pada 29 mac majlis perkahwinanku di sebelah pihak suami berlangsung di kampung Darau Menggatal. Terima kasih untuk kakak dan abang iparku yang ternyata berusaha memberikan yang terbaik sebagai merawat dukaku. Walaupun sederhana tanpa muzik kerana sepupu suamiku baru juga meninggal, namun segalanya berjalan lancar. Terima kasih juga untuk ayah Ha dan adik yang hadir memberikan aku sebuah buku puisi yang mengucapkan tentang semangat.

Bila difikirkan kembali, aku tau Allah sengaja memilih aku untuk menikmati sebuah majlis perkahwinan yang dilanda banjir. Aku orang istemewa kerana dalam seribu barangkali Cuma seorang dua yang menikmati detik-detik sebegini. Allah mahu aku merasai semua suasana. Suasana duka ketika air bah melimpah, suasana riang ria berada di Shangrilla Resort dan suasana kekeluargaan di kampung Darau. Bila difikirkan kembali, apa yang aku rasakan ini bukan apa-apa. Ada lagi orang lain yang ternyata begitu hebat diuji. Benar ada lagi yang begitu hebat diuji.

15 mac pelamin anganku musnah. Namun pada detik itu juga Sungai Meligan Sipitang menghantar bala tenteranya hingga seorang remaja berusia 19 tahun hilang dibawa arus. Seluruh warga kampung bergotong royong mencari remaja malang itu. Akhirnya beberapa hari kemudian misteri kehilangan gadis remaja itu terjawab. Mendiang Caroline menjadi mangsa amukan Sungai Meligan. Nah, aku Cuma kehilangan pelamin anganku, sedang mereka kehilangan orang yang paling dikasihi.

Aku akan sentiasa percaya bahawa sesungguhnya setiap yang berlaku walau bagaimana pun buruknya ia, ia tetap mengandungi hikmah. Harus redha dalam menghadapi ujian Allah. Apabila sampai ke tahap itu, kita akan merasa nikmatnya tanpa ada rasa sesal dan kecewa.

Terima kasih pada ayah bonda yang mengasihi dan merestui pilihanku. Terima kasih kepada abang dan kakak yang memberikan aku semangat saat aku lemah. Terima kasih untuk suami tercinta yang selalu memujuk ketika aku merajuk dan memberikan aku ruang untuk mengenali diriku. Terima kasih untuk seluruh warga kampung Saga Laut, Batu- Batu, Karangan Baru dan Darau yang selalu ada saat aku ketawa dan menangis. Terima kasih pada hari kelmarin yang membuka pintu peristiwa untuk aku memahami gelora hidup manusia. Terima kasih untuk segalanya.

Percayalah catatan ini benar belaka.

SMK Sepulut Nabawan
Pensiangan, Sabah.

Kerja ikhlas, amanah sumber terbaik

Islam benarkan sebarang punca rezeki asalkan tak bertentangan syarak

SAYA mempunyai empat anak. Persoalan saya, apakah sebaik-baik punca rezeki atau pekerjaan dituntut seorang Muslim? Ia disebabkan anak saya ada bertanyakan soalan ini dan saya keliru untuk memberikan jawapan sesuai. Saya juga mahu memastikan supaya dapat mendidik mereka dengan memilih kerjaya bertepatan kehendak agama itu sendiri.

Insan prihatin
Ampang, Selangor

TUJUAN manusia berada di muka bumi ialah untuk beribadat kepada Allah SWT iaitu menunaikan perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya serta bertindak sebagai khalifah yang memakmurkan bumi dengan kelebihan dan keistimewaan yang dimiliki mereka. "Dan tidaklah Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk mengabdikan diri kepada-Ku" (Surah al-Dzariyyat: Ayat 51)

Oleh itu, Islam sudah menyatakan sebarang pekerjaan yang menghasilkan pendapatan oleh tangannya sendiri bukan dengan jalan meminta-minta dan sebagainya seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Tidaklah ada makanan seseorang itu yang lebih baik daripada apa yang dimakannya daripada hasil usaha tangannya sendiri". (Riwayat al-Bukhari).

Umat Islam boleh menjadikan pekerjaannya sebagai ibadat dengan menuruti beberapa syarat iaitu antaranya:

1. Niat ikhlas kerana Allah. Ia akan mengangkat manusia kepada kemuncak ketinggian dan kemuliaan insan. Ikhlas juga akan menghasilkan kemenangan dan kejayaan, membawa kedamaian dan kesejahteraan serta terhindar daripada sifat riak demi mengharapkan reda Allah.

2. Al-Siddiq (Benar), Ia akan menjamin dalam mengembalikan hak kepada yang berhak, memperkukuh ikatan antara masyarakat tidak kira seorang alim, pemimpin, hakim, saudagar, lelaki atau perempuan, kanak-kanak atau dewasa.

Menurut Imam al-Ghazali ada beberapa jenis sifat Siddiq. Antaranya:

  • Benar pada lidah � menyampaikan sesuatu kenyataan atau berita menepati apa yang sebenarnya.
  • Benar pada niat � membuat sesuatu amal kebajikan kerana Allah, benar pada azam - membulatkan tekad melakukan kebajikan seperti sudah menjadi azam.

  • Benar pada janji dan benar pada amal � Berusaha bersungguh-sungguh supaya amalan lahirnya menepati dengan apa yang tersembunyi dalam dirinya.

  • Amanah � Orang yang amanah akan mendapat kepercayaan orang ramai, sebaliknya orang khianat menjadi tumpuan kemarahan dan kehinaan. Ia asas kepada ketahanan umat, kestabilan negara dan roh kepada keadilan.

  • Fatanah (Bijaksana) � Bijaksana dalam melaksanakan sesuatu kerja dengan menghindari perkara yang boleh mendatangkan rasa tidak puas hati tidak bertempat, mengagihkan kerja mengikut keupayaan seseorang, menyampaikan arahan serta memelihara aib saudara Muslim yang lain.

    Kesimpulannya, Islam membenarkan sebarang pekerjaan asalkan tidak bersalahan dengan landasan dibenarkan syarak. Kejayaan, kebaikan dan pahala dianugerahkan bersandarkan usaha dan amalan seseorang itu seperti firman Allah SWT: "Dan bagi tiap seseorang beberapa darjat tingkatan balasan disebabkan amal yang mereka kerjakan dan ingatlah Tuhan itu tidak lalai daripada apa yang mereka lakukan" (al-An'am: Ayat 132).

    Allah SWT juga berfirman di dalam al-Quran untuk menggesa umat manusia merantau dan berusaha mencari rezeki halal dan pada masa sama memelihara maruah dan kehormatan diri serta agama yang bermaksud: "Dialah yang menjadikan bumi bagi kamu mudah digunakan, maka berjalanlah di merata-rata ceruk rantaunya, serta makanlah daripada rezeki yang dikurniakan Allah dan kepada-Nya jugalah dibangkitkan hidup semula" (al-Mulk: Ayat 15)
  • Bertaubat daripada dosa jangan tunggu usia tua

    Oleh Lokman Ismail

    MANUSIA dicipta untuk mengabdikan diri kepada Allah dan Islam sebagai cara hidup. Pengabdian kepada Allah meletakkan manusia sebagai hamba yang perlu sentiasa patuh kepada suruhan dan menjauhi segala larangan-Nya.

    Nikmat iman adalah anugerah paling besar kepada manusia. Sesiapa yang menolak cahaya keimanan, dia tidak mendapat kebaikan hidup di dunia. Firman Allah bermaksud: "Maka sesiapa yang memilih cara hidup selain Islam, Allah tidak sekali-kali menerima (agamanya) itu dan di akhirat dia dimasuk ke dalam golongan orang yang rugi." (Surah Ali-Imran, ayat 85)

    Sesiapa sudah menerima nikmat keimanan, peganglah sehingga ke akhir hayat. Jangan menukar keimanan dengan kekufuran. Firman Allah bermaksud: "Wahai orang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa dan jangan kamu mati melainkan sebagai seorang Islam." (Surah Ali-Imran, ayat 102)

    Namun, sifat manusia tidak seperti malaikat yang tidak pernah melakukan selain perkara disuruh Allah. Dalam diri manusia ada akal dan nafsu yang mendorong melakukan kebaikan serta keburukan. Sebab itu, Allah menjanjikan balasan pahala dan dosa bagi setiap perbuatan. Allah mengetahui setiap perkara dilakukan hamba-Nya secara nyata atau bersembunyi.

    Tahap keimanan manusia diumpamakan ombak yang ada tinggi dan rendahnya. Keimanan berada pada tahap tertinggi apabila banyak melakukan kebaikan dan menjauhkan kemungkaran dan begitulah sebaliknya.

    Biarpun berstatuskan hamba, manusia bebas menentukan cara kehidupan diingini. Allah memberi pilihan berdasarkan kehendak manusia dan sebab itu manusia bakal menerima pembalasan atas apa dilakukan. Allah berfirman bermaksud: "Dan Kami menunjukkan kepadanya (manusia) dua jalan (jalan kebaikan dan jalan kejahatan)." (Surah al-Balad, ayat 10)

    Setiap kebaikan digandakan nilai pembalasan antara 10 sehingga 700 kali. Sedangkan sesiapa melakukan kejahatan hanya dibalas dengan satu pembalasan atau diampunkan.

    Sekalipun Allah tidak berhajat pertolongan daripada makhluk ciptaan-Nya, Dia memberi pembalasan sebaik-baiknya terhadap hamba yang taat. Limpah rahmat yang diberikan tidak terkira banyaknya.

    Memandangkan manusia tidak lepas daripada melakukan dosa, sedangkan Allah sudah menjanjikan kebaikan pada hari akhirat, maka diberi peluang untuk menghapuskan dosa itu dengan jalan yang disebut taubat. Firman-Nya bermaksud: "Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai hamba-Ku yang melampau batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah kerana sesungguhnya Dia juga yang mengampunkan segala dosa. Sesungguhnya Dia juga yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani." (Surah az-Zumar, ayat 53) Allah menyebut mengenai sifat-Nya Maha Pengampun, bermaksud tidak ada satu pun dosa yang tidak diampunkan jika manusia memohon keampunan daripada-Nya. Firman Allah bermaksud: "Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang beriman, nescaya kamu beruntung." (Surah an-Nur, ayat 31)

    Taubat boleh dilakukan sepanjang masa, paling baik selepas menyedari melakukan dosa. Jika kesalahan itu membabitkan sesama manusia, keampunan perlu dimohon kepada orang terbabit. Ketika meminta maaf perlu dilakukan dengan ikhlas kerana Allah atas kesedaran perbuatan itu satu dosa dan menyesalinya. Diharapkan perbuatan buruk itu tidak diulang, sebaliknya berusaha melakukan kebaikan untuk semua.

    Taubat sebenar ialah menyedari kesalahan atau dosa diikuti penyesalan dan memohon keampunan Allah. Seterusnya, menanam sifat benci kepada perbuatan itu dan terus meninggalkannya. Hasil taubat membawa diri melakukan perbuatan baik. Taubat dipertahankan dengan sentiasa sedar dan waspada menjauhkan diri daripada kejahatan. Biarpun pintu taubat sentiasa terbuka, ia tertutup apabila ajal tiba. Jangan berlengah untuk bertaubat dan ia perlu dilakukan sepanjang masa, bukan hanya apabila usia lanjut.

    Syaitan sentiasa membisikkan supaya melakukan dosa, menangguhkan taubat sehingga sampai ke akhir hayat. Syaitan sedar, sebesar mana dosa dilakukan anak Adam dan kemudian bertaubat, Allah tetap menerima taubat itu.

    Bagi memastikan misi syaitan meletakkan manusia dalam neraka ialah dengan cara mengelak daripada bertaubat. Kerja jahat syaitan untuk menempatkan manusia bersamanya di neraka menjadi sia-sia jika manusia bertaubat. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah tetap menerima taubat hamba-Nya, selagi roh belum sampai di kerongkong (hampir sangat dengan ajal)." (Hadis riwayat Tirmizi)

    Sebagai Muslim yang yakin bertemu Allah di akhirat kelak, berusahalah meningkatkan takwa dan menghindarkan dosa supaya dihimpunkan bersama orang beriman di akhirat. Sesungguhnya hidup ini tidak hanya berakhir di dunia kerana akhirat kehidupan abadi.

    Berita Harian Online

    Bersyukur dorong insan lebih tawaduk

    Oleh Khairunneezam Mohd Noor

    ALLAH menganugerahi banyak nikmat kepada manusia. Dengan sifat maha pengasih dan penyayang-Nya, manusia dapat merasai kelazatan pelbagai nikmat kurniaan Allah yang bersifat keduniaan (duniawi) dan akhirat (ukhrawi).

    Firman Allah bermaksud: "Dan jika kamu menghitung nikmat Allah (yang dilimpahkan kepada kamu), tiadalah kamu akan dapat menghitungnya satu persatu; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (Surah an-Nahl, ayat 18)

    Nikmat Islam dan iman adalah kurniaan Allah paling berharga dan tidak semua manusia dapat mengecapi kedua-duanya. Sesiapa yang memilikinya harus bersyukur dan menjaganya sebaik mungkin.

    Seseorang yang bersyukur dengan nikmat Islam dan iman tidak berasa susah sekalipun miskin atau melarat kerana jiwa raganya cukup kaya serta rasa dekat dengan Allah. Nikmat Islam dan iman menjadi benteng teguh untuk mencegah seseorang mendekati kemungkaran. Nikmat Islam dan iman juga faktor penyelamat kehidupan di dunia dan akhirat. Namun, kita biasa mendengar 'nikmat hanya dirasai apabila kita kehilangannya'. Inilah keadaan biasa dalam kehidupan manusia yang mungkin terlupa atau tidak mahu bersyukur tatkala hidupnya bahagia dianugerahi pelbagai nikmat Allah.

    Golongan itu juga dipanggil sesetengah orang sebagai lupa daratan atau kufur nikmat. Allah berfirman yang bermaksud: "Dan sesungguhnya Kami menetapkan kamu (dan memberi kuasa) di bumi dan Kami jadikan untuk kamu padanya (pelbagai jalan) penghidupan (supaya kamu bersyukur, tetapi) amat sedikit kamu bersyukur. Apabila nikmat ditarik balik oleh-Nya, barulah seseorang mahu menangisi dan menyesal kealpaan untuk bersyukur kepada Allah ketika dilimpahi nikmat tidak terhitung." (Surah al-A'raaf, ayat 10)

    Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Rebutlah lima perkara sebelum hadir lima perkara; masa mudamu sebelum tua, sihat sebelum sakit, kaya sebelum miskin, masa lapang sebelum sibuk dan hidup sebelum mati." (Hadis riwayat al-Hakim)

    Rasulullah SAW memberi isyarat kita perlu mensyukuri nikmat Allah. Kita juga diisyaratkan untuk terus tawaduk melaksanakan ibadah kepada-Nya walaupun dalam keadaan senang, bukan hanya ingatkan Allah apabila susah.

    Kita wajib mensyukuri nikmat Allah tanpa mengira miskin atau kaya, tua atau muda dan lelaki atau perempuan. Syukur tanda tunduk kepada Allah satu-satunya Tuhan yang berhak disembah. Ini selaras firman Allah bermaksud: "Syukurlah terhadap nikmat Allah jika kamu sungguh-sungguh menyembah-Nya." (Surah an-Nahl, ayat 144)

    Konsep bersyukur menurut Imam al-Junaid ialah menyalurkan segala nikmat Allah ke arah kebaikan dan kebajikan, bukan kemungkaran atau kemaksiatan. Untuk itu, KH M Syueb Ushul menyarankan kita menyerlahkan kesyukuran dengan hati, ucapan dan perbuatan. Bersyukur melalui hati ialah menanam azam menyalurkan nikmat itu untuk beramal kepada Allah, membuat kebajikan kepada manusia dan makhluk, selain tidak putus mengingati-Nya.

    Mensyukuri nikmat secara lisan, ialah dengan lidah yang basah mengucapkan dan memperbanyak zikrullah. Akhirnya, mensyukuri nikmat melalui perbuatan mendorong tindak-tanduk melaksanakan ibadah kepada Allah sepenuh rela, tawaduk serta melaksanakan amar makruf nahi mungkar.

    Diriwayatkan Saidatina Aisyah bahawa beliau memerhatikan Rasulullah SAW beribadah penuh khusyuk siang dan malam sehingga bengkak kaki Baginda, lalu beliau bertanya: "Ya Rasulullah, mengapakah engkau tidak henti-henti beribadat kepada Allah? Maka Rasulullah SAW menjawab: Tidakkah aku sepatutnya menjadi hamba yang bersyukur?"

    Bayangkan Rasulullah SAW, semulia-mulia manusia yang dijamin kedudukannya di syurga, tidak putus menzahirkan syukur terhadap nikmat Allah. Baginda terus beramal sepenuh hati, perkataan dan perbuatan. Apatah lagi kita manusia biasa yang masih perlu diperhitungkan timbangan dosa dan pahala di akhirat, apakah kita tidak mahu menyerlahkan kesyukuran sehebat kualiti manifestasi kesyukuran Rasulullah SAW terhadap nikmat pemberian Allah.

    Andainya kita mampu menerbitkan rasa syukur terhadap nikmat Allah secara istiqamah, yakinilah dengan izin-Nya, segala amal diberi ganjaran pahala dan syurga. Bahkan Allah menjanjikan nikmat kurniaan-Nya kepada kita berlipat gandakan. Namun, lain pula halnya apabila seseorang tidak tahu atau tidak mahu bersyukur seperti tidak berterima kasih apabila menerima pemberian orang lain.

    Apakah perasaan pemberi hadiah jika orang yang menerimanya berat mengungkapkan perkataan 'terima kasih' bahkan perbuatannya juga jauh daripada menunjukkan rasa menghargai hadiah itu.

    Begitu juga persoalannya, apakah layak seseorang terus menerima nikmat dan rahmat Allah jika dia tidak tahu berterima kasih atau bersyukur? Malang nasib seseorang apabila rasa syukur tidak diterbitkan dalam hati, lidah mahupun perbuatan kerana balasan azab Allah sangat menyeksakan.

    Hal ini selaras firman Allah bermaksud: "Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambah nikmatKu kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras." (Surah Ibrahim, ayat 7)

    Nikmat perlu disyukuri bukan disalahgunakan ke arah kemungkaran dengan menjadikan hawa nafsu dan tipu daya syaitan sebagai nakhoda dalam jiwa serta pemikiran. Nikmat dianugerahkan Allah perlu dianggap pendorong untuk lebih khusyuk dan tawaduk mengabdikan diri kepada-Nya dan memperteguhkan tahap keimanan demi kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat.

    Berita Harian Online


    Antara kehendak kerohanian dan tarekat

    Oleh: DR. Mohd Asri ZainUl Abidin

    Apabila masyarakat manusia menjadi berselerak, kelam kabut, porak peranda, kekontangan jiwa, keruntuhan nilai akhlak dan budi, sedangkan penyelesaian yang memuaskan tidak dapat ditemui, ketika seperti itu kita akan melihat bagaimana sebahagian manusia akan mula mencari agama sebagai jalan keluar.

    Jika pun tidak untuk merungkaikan masalah itu secara keseluruhan, sekurang-kurangnya untuk menyelesaikan keresahan atau keserabutan yang ada dalam jiwa seseorang. Tidak mustahil di peringkat yang seperti ini, ajaran-ajaran kerohanian yang menawarkan 'kempen-kempen ajaib' akan mendapat perhatian sesetengah golongan.

    Tarekat-tarekat yang mempunyai cerita-cerita ajaib dan pelik akan mula diminati oleh sesetengah pihak sebagai satu penyelesaian ekstrem yang kononnya dapat membuka kehidupan baru penuh cerita-cerita sakti.

    Kita akan melihat banyak pihak akan mengambil kesempatan atas 'kehausan rohani' masyarakat. Ada yang bertujuan menyebarkan ajaran sesatnya, ada juga pula yang bertujuan untuk mengumpulkan kekayaan atau kuasa.

    Hal seperti ini sering berlaku ketika kemelut sosial melanda masyarakat Islam termasuk semasa zaman 'Abbasiah. Ia juga akan berlaku dalam negara kita.

    Saya ingin menyentuh tajuk ini kerana banyak pihak mula bertanya tentang banyak cerita-cerita tarekat yang mula muncul dalam masyarakat kita.

    Saya ingin mengingatkan pembaca tentang satu hakikat yang penting bahawa Islam itu ditegakkan atas prinsip-prinsip akidah yang jelas. Paksi akidah Islam terkandung dalam al-Quran dan Sunah.

    Apa-apa pengalaman kerohanian yang tidak berasas akidah Islam adalah tertolak. Siapa pun syeikh, besar mana pun serbannya, sepetah mana pun dia, apa pun tafsirannya tentang kerohanian, namun jika ia bercanggah dengan nas-nas al-Quran dan al-Sunnah, maka ia tertolak.

    Agama-agama lain juga ada pengalaman kerohanian mereka, namun itu semua tidak dijadikan sukatan dalam ajaran Islam untuk menentukan ketepatan ajaran.

    Pengalaman kerohanian itu diterima jika tidak bercanggah dengan wahyu yang diturunkan. Rasulullah saw ialah guru kerohanian yang agung dan utama, mengatasi segala tokoh dan syeikh tarekat. Jika ajaran kerohanian itu tidak sama dengan ajaran Rasulullah SAW maka itu bukan jalan hidayah yang diimani oleh seorang Muslim.

    Ya, kita akur persoalan kerohanian dan penyucian jiwa adalah perkara yang penting dan ada dalam ajaran Islam yang bersumberkan al-Quran dan al-Sunnah yang sahih.

    Tepat

    Usaha untuk membersihkan diri itu mestilah dengan panduan kedua sumber tersebut secara tepat. Tanpa tarekat tertentu, apa yang ada dalam al-Kitab dan al-Sunah sudah memadai bagi setiap muslim. Bukanlah bererti bahawa seseorang jika tidak menyertai tarekat bererti dia tidak akan dapat membersihkan diri.

    Sebaliknya, sekiranya seseorang berpegang dengan ajaran Nabi SAW dia akan menemui semua penawar untuk jiwa. Nas-nas al-Quran dan al-Sunnah begitu banyak berhubung dengan tazkiah al-Nafs (penyucian jiwa) .

    Ahlus Sunnah wal Jama'ah berpegang bahawa jalan untuk membersih telah pun ditunjukkan dengan jelas oleh baginda SAW Itulah tonggak kerohanian. Bahkan mana-mana jalan (tarekat) kerohanian yang bercanggah dengan jalan Rasul saw adalah ditolak, seperti yang dinyatakan sebelum ini. Seorang tokoh ilmuwan Islam terkenal Dr. 'Abd al-Karim Zaidan dalam buku yang masyhur Usul al-Da'wah menyebut: "Amalan soleh adalah apa yang sahih dan ikhlas kepada Allah.

    Apa yang sahih itu adalah yang menepati syarak, maka membuat bid'ah dalam agama dengan menambah atau mengurangkannya adalah sesuatu yang tidak dibolehkan dan tiada pahala bagi pengamalnya sekalipun dengan niat beribadah kepada Allah.

    Bidaah itu lebih buruk daripada maksiat. Ini kerana bidaah itu mengubah agama serta menghukum dan mentohmah syarak sebagai cacat, berhajatkan kepada penyempurnaan, pengurangan dan mengubahkan.

    Ini adalah perkara yang sangat besar yang tidak boleh kita beriktikad atau beramal dengannya. Untuk itu al-Rasul SAW memberi amaran mengenai bid'ah, sabdanya: Jauhilah kamu perkara-perkara yang diada-adakan dalam agama, kerana setiap yang diada-adakan itu bid'ah, dan setiap yang bid'ah di dalam neraka (sahih: riwayat Abu Daud).

    Maka segala kebaikan apa yang bawa oleh syarak dan berpada dengannya. (m.s. 41, Beirut: Muassasah al-Risalah).

    Perkara kedua yang patut kita sedar, bahawa sebahagian ajaran tasawuf dan tarikat dipengaruhi oleh anasir-anasir luar daripada Islam, seperti unsur-unsur ajaran Kristian, Hindu, Parsi, Yunan dan lain-lain.

    Kata Dr. Yusuf al-Qaradawi: "Para pengkaji tidak boleh membantah bahawa tasawuf telah terpengaruh -pada tahap tertentu- unsur-unsur asing, samada anasir Kristian, Hindu, Parsi atau Yunan, juga unsur-unsur Islam.

    Dalam tempoh masa sekian lama, telah masuk ke dalam tasawuf pemikiran yang pelik daripada sumber-sumber yang disebutkan tadi atau selainnya. Sehinggakan sebahagian tasawwuf sampai ke peringkat percaya kepada al-hulul, atau al-ittihad, atau wahdatul wujud.

    Sebahagian mereka pula bercakap mengenai qidam nur Muhammad atau yang mereka namakan al-hakikat al-Muhammadiyyah (hakikat Muhammad). Juga mereka bercakap mengenai kewalian, para wali, kasyaf, mawajid, zauq dan berhukum dengan perkara-perkara tersebut dalam nas-nas agama.

    Mereka memisahkan hakikat dan syariat, berpegang bahawa dalam mendidik murid tasawuf hendaklah dia di hadapan gurunya bagaikan mayat di hadapan orang yang memandikannya. Mereka melampaui batas dalam zuhud dan apa yang berkaitan dengannya sehingga ke peringkat terkeluar dari kesederhanaan Islam kepada kerahiban Kristian". (Dr. Yusuf al-Qaradawi, Thaqafah al-Da'iyah, m.s. 94-95, Beirut: Muassasah al-Risalah)

    Saya menimbulkan hal ini, bukan bertujuan mematahkan semangat mereka yang ingin membersihkan diri. Saya menimbulkannya untuk kita berhati-hati. Jangan sampai ada pihak yang tersangkut dengan ajaran yang memisahkan antara hakikat dan syariat, atau dalam erti kata lain menganggap kerohanian yang mereka pelajari tidak lagi bergantung kepada al-Quran dan al-Sunnah.

    Tersasul

    Dalam kehendak ingin mendekati Allah, janganlah kita tersasul sehingga terjun ke lembah falsafah kerohanian yang mengeluarkan pemikiran dan cerita-cerita yang pelik, yang akhirnya bukan membawa insan mendekatkan diri kepada al-Quran dan al-Sunnah, sebaliknya 'seronok sendiri' dengan bahasa dan istilah yang dia anggap orang lain tidak tahu.

    Bak kata tokoh ilmuwan besar al-Syeikh Munna' al-Qattan ketika memperkatakan tentang tafsir golongan sufi: "Tasawuf telah bertukar menjadi falsafah andaian semata-mata, yang tiada lagi hubungan dengan warak, taqwa dan kezuhudan. Falsafah ini mengandungi pemikiran-pemikiran yang bercanggah dengan Islam dan akidahnya". (Manna' al-Qattan, Mabahith Fi 'Ulum al-Quran, m.s. 356, Riyadh: Maktabah al-Ma'arif).

    Dalam dunia umat Islam berbagai ajaran kerohanian atau tarekat wujud. Hingga ada yang salah faham, sehingga menganggap tarekat sufi yang memakai 'skirt' berpusing berjam-jam tanpa henti dalam keadaan khayal seperti di Turki, itulah kerohanian Islam. Sama sekali tidak.

    Kita berpegang apa yang al-Imam al-Syatibi (w. 790H) kata: "Golongan sufi juga sama seperti orang lain yang tidak maksum (terpelihara daripada dosa). Adalah mungkin untuk mereka silap, lupa dan bermaksiat sama ada dosa kecil atau besar.

    Justeru itu para ulama menyatakan: setiap percakapan boleh diambil atau ditinggalkan, kecuali percakapan Nabi SAW sepertimana kemungkinan untuk selain golongan sufi melakukan maksiat dan bid'ah, demikian mereka (ahli sufi).

    Maka wajib bagi kita untuk mengikut orang yang terhalang dari silap (maksudnya Rasullullah SAW) dan berhenti daripada mengikut sesiapa yang tidak terhalang daripada silap apabila melihat pada ikutan tersebut kekeliruan.

    Bahkan kita bentangkan apa yang datang daripada para imam kepada al-Kitab dan al-Sunnah. Apa yang keduanya (al-Quran dan al-Sunnah) terima, maka kita terima, dan apa yang kedua tidak terima kita tinggalkannya.

    Kita hanya diwajibkan mengikut syarak dan kita tidak pula diwajibkan mengikut perkataan dan perbuatan golongan sufi, melainkan setelah dibentangkannya" (kepada al-Quran dan al-Sunnah). (Al-Syatibi, Al-'Itisam m.s 165, Beirut Dar al-Kitab al-'Arabi, Beirut).

    DR. Mohd Asri ZainUl Abidin ialah bekas mufti perlis dan kini pensyarah pengajian islam, Universiti Sains Malaysia (USM) yang sedang sabatikal di Britain.

    Manusia binasa jika biar diri dibelenggu kejahilan

    Oleh Wan Abd Rahim Wan Mohamad

    Ilmu senjata paling penting untuk bina kekuatan supaya negara, agama terus gemilang

    ILMU dan amal selalunya ingin bersama umpama laut dan pantai, aur dan tebing yang seiring kekal bergandingan. Umpama pemimpin dan rakyat yang saling memerlukan. Namun ilmu kadang kala meninggalkan amal, ada kalanya ilmu juga disingkirkan.

    Betapa keajaiban jika laut tidak bersama pantai begitu juga jika aur tidak lagi bersama tebingnya, ilmu tidak bersama amalnya, pemimpin tidak lagi bersama rakyatnya. Lagu tidak lagi berirama dan nasi tidak berlauk tentu pincanglah lagu, selera pun hilang.

    Terungkap kecintaan Allah terhadap ilmu dan orang yang berpengetahuan berdasarkan firman yang bermaksud: "Katakanlah. Bukankah tidak sama orang yang mengetahui dengan orang tidak mengetahui? Tidak mengingat melainkan orang mempunyai fikiran." (Surah az-Zumar, ayat 9)

    Allah meletakkan mereka yang berilmu sebaris dengan orang mempunyai fikiran serta dapat membezakan antara buruk dan baik, kebenaran dan kepalsuan. Imam al-Ghazali berkata: "Siapa yang tidak berfikir ilmunya tidak dapat dipercayai."

    Dr Sidi Gazalba juga pernah berkata: "Kebenaran ilmu sepanjang pengalaman. Pengalaman filsafat sepanjang pemikiran."

    Mulia insan kerana ilmunya, halus pemahaman mengenai hidup serta luas matahari dan tajam akalnya. Orang berilmu akan diterangi jalan ke syurga, memimpin mereka kepada kebahagiaan. Justeru carilah ilmu semoga tersingkap pintu rahmat tertutup lorong kehancuran.

    Buta hati kerana jahil lebih bahaya daripada buta mata. Lantaran itu dibimbangi di kalangan kita akan luput ilmu, berleluasa kejahilan lalu hancur peradaban dan lenyap ketamadunan. Empayar dibina berasas ketinggian ilmu menjadi pengukur bagi bangsa lain di dunia.

    Renungi sejarah silam keagungan Islam, kekuatan yang diasaskan kepada ajaran suci terhadap ilmu membuka jiwa dan mata hati masyarakat jahiliah menjadi satu bangsa bermaruah dan disegani. Kewajipan menuntut ilmu banyak ditegaskan dalam al-Quran.

    Firman Allah yang bermaksud: "Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan. Dia menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah. Tuhanmu adalah Maha Mulia, yang mengajarkan manusia menulis dengan pena. Mengajarkan manusia apa saja yang tidak diketahui." (Surah Al-Alaq: ayat 1-5)

    Seorang penyair agung Sepanyol, Stanley Lane Poole pernah berkata: "Selera ilmu dan sastera dalam abad keagungan Islam sama sekali tidak kita dapati pada zaman moden ini."

    Sementara itu Dr Hamka berkata: "Ilmu pengetahuan menjadi kekuatan besar bagi suatu ketamadunan bangsa."

    Ilmu adalah kunci alam, alam adalah kunci mengenal Tuhan. Sebesar dan sebenar-benar ilmu yang tidak melewati batas Islam iaitu berpandukan al-Quran dan hadis, bersendikan iman. Dan ilmu yang merosak diukur dengan nafsu.

    Ilmu tidak mungkin terlekat di jiwa jika akal tidak digerakkan malah kesempurnaan ilmu terletak pada kesempurnaan akalnya. Oleh itu umat terbaik wajar menambahkan lagi kekuatan untuk bangkit memartabatkan diri sebagai umat terbaik, berilmu, berintergriti, beramal dan berdaya juang.

    Kerana Islam itu sendiri terlalu luas, tiada batas sempadan dan perlu diteroka hingga ke dasar untuk mencari makna serta inti pati yang mampu membentuk tamadun hebat seperti ditonjolkan tokoh dan ilmuwan terdahulu.

    Namun, ilmu jika tidak diterjemahkan tidak mungkin dapat merubah suasana sedia ada. Kita perlukan kesedaran ketika membuka lembaran ilmu dan sejarah seperti yang pernah ditegaskan pemikir Mesir, Dr Muhammad Imarah: "Kesedaran adalah satu senjata paling ampuh untuk membina kembali ummah selepas terbolos dengan kealpaan sendiri dan terperangkap oleh jerat musuh."

    Kita tidak mahu melihat kecelakaan yang menimpa umat Islam akibat daripada buta ilmu dan memandang sepi terhadap sejarah. Justeru, peristiwa berlaku serta kegemilangan pernah dijulang perlu direnungi secara mendasar agar menjadi landasan untuk bangkit membina ummah.

    Rasulullah pernah mengingatkan bahawa segala teknologi dan kepakaran adalah asalnya datang daripada umat Islam dan kepakaran itu hilang kerana kelemahan orang mukmin sendiri. Sejarah silam perlukan penghadaman serta kupasan yang segar bagi semarak kembali kegemilangan itu.

    Kerakusan serta kesilapan menjadikan umat Islam hilang kegemilangannya, terbolos dan beku oleh belenggu nafsu. Justeru, minda dan hati perlu dibangkitkan untuk melonjak ilmu supaya menjadikan diri dan bangsa lebih dikenali, disegani serta dihormati.

    Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Allah tidak menarik kembali pengetahuan dengan jalan mencabutnya dari hati manusia, tetapi dengan jalan mematikan orang yang berilmu. Apabila orang berpengetahuan sudah punah, maka masyarakat mengangkat orang bodoh menjadi pemimpin dan tempat bertanya. Orang ini akan berfatwa tanpa ilmu, mereka itu sesat dan menyesatkan."

    Apa salahnya merenung sejarah silam untuk dijadikan iktibar dan pedoman. Renungi sejarah dan kegemilangan dengan akal serta mata hati supaya tidak terjajah oleh nafsu.

    Pemikir Islam iaitu Malik Bennabi pernah berkata: "Jika kamu tidak mahu dijajah maka jangan bersedia untuk dijajah."

    Sebagai umat terbaik, kita perlu berubah dengan meletakkan al-Quran serta segala isinya di tempat yang terbaik. Kita perlu kembali pada akarnya, sejarah dan kegemilangannya. Kita tidak akan rebah jika benar-benar menjadikan al-Quran sumber segala ilmu dan rujukan.

    Amalan sunat dalam bulan-bulan Islam

    BULAN MUHARRAM
    • Tanggal 1-9hb disunatkan berpuasa (puasa Tasua')
    • Tanggal 10hb disunatkan berpuasa (puasa Asyura)
    • Dalam bulan ini disunatkan agar memperbanyakkan amalan bersedekah kepada fakir miskin
    • Disunatkan supaya melebihkan perbelanjaan dalam keluarga
    • Mengusap kepada anak yatim dan menaruh perasaan belas kasihan terhadap mereka
    • Memperbanyakkan bacaan zikir dan selawat
    • Sesiapa yang berbuat baik kepada anak yatim seolah-olah ia telah berbuat baik kepada semua anak-anak yatim.
    • Sesiapa yang bersedekah pada hari itu maka seolah-olah ia tidak pernah menorak permintaan orang yang meminta-minta selama hidupnya


    BULAN SAFAR
    BULAN RABIUL AWWAL
    BULAN RABIUL AKHIR
    BULAN JAMADIL AWWAL
    BULAN JAMADIL AKHIR

    Tiada amalan sunat yang khusus atau istimewa dalam bulan ini melainkan amalan sunat dan fardhu seperti biasa.

    REJAB

    Bersabda Rasulullah saw maksudnya " Rejab adalah bulan Allah, Sya'ban adalah bulanku dan Ramadhan adalah bulan umatku." Sesiapa yang berpuasa dalam bulan ini dengan penuh ikhlas semata-mata mengharapkan rahmat dari Allah maka ia layak mendapat ganjaran dari Allah seperti yang telah disabdakan oleh Rasulullah saw maksudnya,
    • Sesiapa yang berpuasa sehari maka ia akan mendapat keredhaan Allah
    • Sesiapa yang berpuasa 2 hari maka ia akan mendapat kemuliaan yang besar dari Allah
    • Sesiapa yang berpuasa 3 hari maka ia akan dijauhkan dari Allaj dari dugaan dunia, deselamatkan dari penyakit yang berbahaya dan diselamatkan dari disiksa diakhirat dan fitnah dajjal
    • Sesiapa yang berpuasa 7 hari maka akan dikunci oleh Allah 7 pintu neraka jahannam baginya
    • Sesiapa yang berpuasa 8 hari maka akan dibuka oleh Allah 8 pintu syurga baginya
    • Sesiapa yang berpuasa 10 hari maka akan dieprkenankan oleh Allah hayat dan permintaannya
    • Sesiapa yang berpuasa 15 hari maka Allah akan menambahkan pula pahala amalannya berlipat kali ganda
    • Orang yang berpuasa di bulan Rejab kelak di Syurga diberi minum air sungai yang bernama Rejab yang airnya lebih putih dari susu, lebih manis dari manisan dan lebih dingin dari salji
    • Dalam bulan lain setiap amalan akan digandakan Allah 10 kebajikan, tetapi pada bulan Rejab akan digandakan sebanyak 70 kebajikan.
    • Digalakkan mendengar kisah dan peristiwa yang berlaku dalam bulan Rejab seperti Isra' Mikraj Rasulullah saw.

    BULAN SYAABAN

    Syaaban adalah bulan Rasulullah saw. Bersabda yang maksudnya " Dinamakan dengan syaaban (berserak-serak) itu adalah kerana di dalamnya terdapat banyak kebajikan yang berserak-serak.
    • Setiap amalam kebajikan akan digandakan oleh Allah dengan 700 kali ganda
    • Allah akan menurunkan rahmatNya serta memberikan pengampunan umum kepada hambanya.
    • Sesiapa yang berpuasa 3 hari di awal, pertengahan dan di akhirnya maka Allah akan menuliskan baginya pahala 70 orang nabi, pahala beribadat selama 70 tahun.
    • Kelebihan malam nisfu Syaaban pula ialah sesiapa yang mendirikan solat sunat sunat dan menghidupkan malam itu dengan banayk berdoa, berzikir, berselawat, bertasbih, membaca al Quran dan sebagainya maka Allah akan membukakan untuknya 300 pintu rahmat disamping doanya tidak akan ditolak.
    • Orang-orang yang tidak diampunkan oleh Allah pada malam nisfu syaaban ialah mereka yang menyekutukan Allah dengan sesuatu, tukang sihir, tukang nujum, emreka yang suka bermusuhan, peminum arak, penzina, pemakan riba, derhaka terhadap kedua ibu bapa, pembuat fitnah dan mereka yang memutuskan tali silaturrahim.

    BULAN RAMADHAN

    Ramadhan adalah bulan umat Muhammad saw. Bersabda baginda yang bermaksud " Apabila tiba bulan Ramadhan maka akan dibukakan pintu-pintu syurga dan ditutupkan pintu-pintu neraka lalu diikatkan semua syaitan."

    Sabda baginda dalam hadis yang lain, " Jika umat manusia itu mengetahui kelebihan yang terdapat di dalam bulan ramadhan nescaya umatku akan menginginkan supaya dijadikan sepanjang tahun itu Ramadhan"

    • Setiap amalan kebajikan akan digandakan oleh Allah sebanyak 1000 kali ganda
    • Setiap amalan sunat akan diberikan ganjaran pahala amalan fardhu
    • Ramadhan dibahagikan kepada tiga bahagian istimewa bagi mereka yang ebrpuasa iaitu bahagian pertamanya dipenuhi dengan rahmat Allah, bahagian kedua dipenuhi dengan keampunan dari Allah dan bahagian ketiga pembebasan dari api neraka
    • Dituntut supaya mengerjakan solat sunat tarawikh, witir dan solat sunat yang lain.
    • Benyakkan berdoa, berzikirz selawat, membaca Al Quran, bertaubat dan lain-lain
    • Banyakkan bersedekah kepada fakir miskin dan membantu mereka yang berada di dalam kesusahan dan ditimpa kemalangan.
    • Memberi makan kepada mereka yang hendak berbuka puasa.
    • Menggandakan amalan sunat terutamanya pada 10 malam yang terakhir Ramadhan bagi mengharapkan keberkatan dan kebesaran malam Lailatul Qadar seperti beriktikaf di masjid, qiamullail dan sebagainya

    BULAN SYAWAL

    Amalan sunat di bulan Syawal :
    • Amalan sunat pada 1 Syawal seperti :
    a) Membayar zakat fitrah sebelum menunaikan Solat Aidil Fitri
    b) Menghias diri dan tempat tinggal supaya kelihatan bersih dan cantik
    c) Mendi Sunat Aidilfitri pada pagi harinya
    d) Menjamah sedikit makanan sebelum keluar menuju masjid
    e) Keluar menuju ke masjid dengan satu jalan dan bila pulang menggunakan jalan yang lain
    f) Lebih afdal dengan berjalan kaki ke masjid
    g) Mengumandangkan takbir, tahmid dan tahlil bermula malam 1 Syawal hinggalah tersenam matahari pada hari raya tersebut.

    • Berpuasa 6 hari dalam bulan Syawal (Sunat Syawal)
    Rasulullah saw bersabda yang maksudnya " Sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dan kemudian diikuti dengan 6 hari dibulan Syawal maka perumpamaannya seperti ia berpuasa sepanjang tahun."

    BULAN ZULKAEDAH

    Tiada amalan sunat yang khusus atau istimewa dalam bulan ini melainkan amalan sunat dan fardhu seperti biasa.

    BULAN ZULHIJJAH

    Dari sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas r.a, Rasullullah s.a.w telah menerangkan tentang fadilat di bulan Zulhijjah iaitu :
    • Tanggal 1 Zulhijjah kesalahan Nabi Adam as telah diampunkan Allah. Oleh itu sesiapa yang berpuasa pada hari itu dosanya akan diampunkan oleh Allah
    • Tanggal 2 Zulhijjah doa nabi Yunus as diperkenankan Allah. Oleh itu sesiapa yang berpuasa pada hari itu seperti berpuasa setahun dan dicatitkan baginya seperti tidak pernah melakukan maksiat.
    • Tanggal 3 Zulhijjah doa nabi Zakaria telah diperkenankan oleh Allah. Oleh itu sesiapa yang berpuasa pada hari itu doanya juga akan diperkenankan oleh Allah
    • Tanggal 4 Zulhijjah Nabi Isa dilahirkan. Oleh itu sesiapa yang berpuasa pada hari itu akan terhindar dari kefakiran dan kemelaratan.
    • Tanggal 5 Zulhijjah Nabi Musa as dilahirkan. Oleh itu sesiapa yang berpuasa pada hari itu akan terlepas ia dari sifat munafik dan siksa kubur
    • Tanggal 6 Zulhijjah allah telah membukakan pintu-pintu kebajikan kepada nabi-nabiNya. Oleh itu sesiapa yang berpuasa pada hari itu akan dipandang oleh Allah dengan pandangan rahmat
    • Tanggal 7 Zulhijjah pintu neraka Jahannam akan dikunci. Oleh itu sesiapa yang berpuasa pada hari itu akan dibukakan 30 pintu kemudahan dan dikunci 30 pintu kesulitannya
    • Tanggal 8 Zulhijjah Nabi Ibrahim telah mendapat perintah supaya menyembelih anaknya Ismail. Seharian ia berfikir sama ada perintah itu daripada Allah atau dari Syaitan.Hari itu dinakan hari Tarwiyah (hari berfikir). Sesiapa yang berpuasa hari tersebut akan diberikan pahala yang banyak oleh Allah
    • Tanggal 9 Zulhijjah Allah telah memberitahu kepada Nabi Ibrahim bahawa mimpinya itu adalah benar dari Allah, bukan dari syaitan. Oleh itu, hari tersebut terlah dikenali sebagai 'Arafah' (Hari ketahui).

    Sunat bersedekah kepada fakir miskin. Sesiapa yang bersedekah pada hari tersebut akan dibangkitkan oleh Allah pada hari kiamat nanti dalam keadaan aman dan sentosa.
    Amalan sunat pada 10 Zulhijjah seperti :
    a) Mandi sunat Aidil Adha pada pagi harinya.
    b) Sunat tidak menjamah makanan atau minuman sehinggalah selesai menunaikan solat Adha
    c) Keluar menuju ke masjid dengan satu jalan dan bila pulang menggunakan jalan yang lain
    d) Lebih afdal dengan berjalan kaki ke masjid
    e) Mengumandangkan takbir, tahmid dan tahlil bermula malam 10 Zulhijjah hinggalah tersenam matahari pada tanggal 13 Zulhijjah (Takbir Muqayyad)
    • Sunat membaca doa akhir tahun pada tanggal 29 atau 30 Zulhijjah selepas solat Asar dan membaca doa awal tahun selepas solat Magrib pada malam pertama awal Muharram.