Manusia ciptaan terbaik

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

Manusia adalah sebaik-baik kejadian kerana diberi akal dan nafsu.

AL-MARAGHI berkata: Surah al-Tin termasuk Surah Makiyyah. Ia terdiri daripada lapan ayat dan diturunkan selepas Surah al-Buruj. Surah ini berkait dengan surah al-Insyirah.

Surah al-Insyirah telah dijelaskan oleh Tuhan perihal makhluk Allah SWT yang paling sempurna iaitu Nabi Muhammad SAW. Berikutnya dalam surah ini Allah SWT menerangkan perihal keadaan manusia sehingga akhir saat urusan mereka dan balasan yang telah disediakan oleh Allah SWT untuk orang yang beriman kepada rasul-Nya.

Firman Allah SWT: Demi (buah) Tin dan (buah) Zaitun.

Ibn Kathir mengemukakan beberapa pendapat berkenaan dengan tin antaranya:

* Masjid Damsyik.

* Gunung-ganang dan bukit di sekelilingnya.

* Al-Qurtubi berpendapat: Masjid Ashab al-Kahfi.

* Ibn Abbas r.a berpendapat Masjid Nuh yang berada di puncak gunung Judiy.

Ustaz Muhammad Abduh berpendapat, al-Tin adalah nama pokok tempat Nabi Adam a.s bernaung di syurga. Sedangkan al-Zaitun pula dikatakan Masjid Baitu al-Maqdis dan buah zaitun.

Al-Maraghi berkata: Tin dan zaitun mengingatkan kewujudan kedua-dua masa ini iaitu Nabi Adam a.s sebagai bapa manusia yang pertama dan Nabi Nuh a.s sebagai bapa manusia yang kedua.

Firman Allah SWT: Dan demi bukit Sina. Iaitu bukit Tursina atau gunung Sinai.

Al-Alusi berkata: Ia merupakan tempat Allah berkata-kata dengan Nabi Musa a.s tanpa khilaf lagi ia bukit di negeri Syam tetapi yang ma'ruf pada masa kini adalah satu kawasan antara Mesir dan Aqabah.

Firman Allah SWT: Dan demi kota (Mekah) ini yang aman. Ibn Abbas, Mujahid, Ikrimah, al-Hasan, Ibrahim al-Nakhaie, Ibn Zaid dan Ka'ab al-Akhbar berpendapat ia kota Mekah.

Ibn Kathir berkata: Sebahagian ulama berpendapat: Tiga tempat ini dimuliakan Allah di mana Allah bangkitkan setiap satunya Rasul yang diutuskan di kalangan ulul al-Azmi.

Pertama: Tempat tin dan zaitun di Baitu al-Maqdis yang diutuskan Nabi Isa bin Maryam.

Kedua: Tursina di mana Allah SWT berbicara dengan nabi Musa a.s.

Ketiga: Mekah yang Allah SWT utuskan Muhammad SAW.

Berdasarkan kenyataan di bawah, jelas menunjukkan permulaannya di tempat yang mulia kemudian lebih mulia dan yang terakhir paling mulia. Yang mana Allah menceritakan berdasarkan tertib, kewujudan mereka secara kronologi.

Firman Allah SWT: Sesungguhnya kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya.

Ibn Kathir berkata: Allah SWT ciptakan manusia dalam sebaik-baik bentuk kejadian, ketinggian dan keindahannya.

Al-Maraghi berkata: Kami telah mencipta manusia dalam bentuk yang paling baik. Kami jadikan manusia bersifat tegap, bertulang tumit indah, mampu mencapai maksud yang diinginkannya dengan tangannya, tidak seperti haiwan yang memungut sesuatu dengan mulutnya.

Allah SWT mengurniakan keistimewaan akal kepada manusia, kebolehan membezakan serta kesanggupan menerima ilmu yang pelbagai jenis. Begitu juga mereka mampu membuat gagasan yang menjadikannya mampu menguasai alam wujud, di samping itu mereka yang mempunyai kemampuan dan jangkauan memperoleh apa yang diingini.

Firman Allah SWT: Kemudian kami kembalikan dia ke tempat yang serendah-rendahnya (neraka). Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh, maka bagi mereka pahala yang tiada putus-putusnya.

Syed Qutub dalam Fi Zilal al-Quran berkata: Apabila ia menyeleweng dengan fitrahnya dari garis lurus yang ditunjukkan Allah dan setelah diberi penjelasan dan kebebasan agar ia memilih salah satu dari dua jalan.

Merekalah golongan manusia yang kekal di atas fitrahnya yang lurus, kemudian mereka lengkapkan pula fitrah mereka dengan iman dan amal soleh dan terus meningkat ke darjat yang sempurna yang diperuntukkan kepada mereka sehingga berakhir dengan kehidupan yang sempurna di negeri akhirat, negeri yang sempurna.

Firman Allah SWT: Maka apakah yang menyebabkan kamu mendustakan (hari) pembalasan sesudah (adanya keterangan-keterangan) itu?

Ibn Jauzi dalam Zad al-Masir menyebut dua pendapat:

l Apakah yang menyebabkan kamu berdusta hai manusia selepas hujah ini berkaitan pembalasan. Ini adalah ancaman kepada orang kafir seperti yang disebut oleh Muqatil.

l Siapa yang mampu dalam pendustaanmu dengan pahala dan balasan selepas nyata Allah mencipta manusia. Inilah pendapat al-Farra'.

Firman Allah SWT: Bukankah Allah hakim yang seadil-adilnya?

Syed Qutub berkata: Tidakkah Allah itu Pengadil Yang Maha Adil apabila Dia menetapkan hukuman-hukuman seperti ini? Atau tidakkah hikmat kebijaksanaan Allah mencapai matlamatnya dalam hukuman yang telah ditetapkan terhadap orang mukmin dan bukan mukmin.

Penutup

Al-Maraghi berkata: Allah SWT itu paling bijaksana mencipta dan mengatur. Oleh sebab itu, Allah SWT menetapkan wujudnya pembalasan amal bagi umat manusia.

Tujuan pembalasan ini supaya manusia tetap kekal pada martabatnya yang mulia menurut fitrah semulajadi mereka. Akan tetapi manusia telah menjatuhkan diri mereka ke martabat yang paling hina, lantaran kebodohan dan pengaturan yang salah.

Justeru, Allah SWT mengirimkan para rasul kepada manusia untuk memberi khabar gembira (petunjuk) dan menyampaikan ancaman. Para rasul ini diberi syariat untuk dijelaskan kepada manusia dan mengajak mereka ke jalan Allah SWT sebagai bukti sifat pemurah Allah SWT kepada manusia.