Ia adalah peristiwa yang sangat luar biasa dilalui oleh Rasulullah SAW. Baginda telah melalui Israk (perjalanan pada waktu malam) dari Masjidil Haram, Mekah ke Masjidil Aqsa di Palestin. Mikraj pula merujuk kepada perjalanan Nabi merentas tujuh lapis langit hingga ke Sidratul Muntaha dan ke Mustawa. Semua itu berlaku hanya dalam satu malam. (rujuk surah al-Israk: 1)

Peristiwa besar ini berlaku selepas nabi SAW menempuh tahun dukacita. Manakan tidak, baginda kehilangan orang yang paling dikasihi dalam hidupnya, iaitu isteri baginda, Siti Khadijah, dan bapa saudara baginda, Abu Talib dalam tahun yang sama. Kedua-dua insan ini adalah tokoh penting yang membantu usaha dakwah baginda di peringkat awal.

Tidak lama kemudian, berlakulah pula peristiwa Taif, di mana baginda telah menghadapi cubaan yang sangat mencabar. Nabi telah dihina, dicerca dan dikecewakan oleh penduduk Taif yang telah menolak usah dakwah baginda.

Di saat kesedihan yang amat sangat itulah Jibril datang membawa pesanan gembira untuk mengiringi baginda untuk Israk dan Mikraj bertemu Pencipta-Nya. Itulah hadiah yang paling bermakna ketika baginda memerlukannya.

Jemputan Allah kepada Rasulullah SAW itu menjadi ujian keimanan kepada umat manusia. Ia bertujuan melihat keyakinan mereka terhadap agama Allah termasuk syurga, neraka, dosa dan pahala. Ini kerana dalam peristiwa berkenaan banyak perkara pelik dan aneh diperlihatkan kepada baginda SAW untuk selanjutnya disampaikan kepada umat Islam.

Keyakinan terhadap semua keajaiban yang berlaku dalam peristiwa itu telah membawa kepada gelaran al-siddiq (yang membenarkan) kepada Saidina Abu Bakar.

Perkara utama yang difardukan dalam Israk Mikraj ini adalah solat fardu lima waktu sehari semalam. Keutamaan solat jelas terbukti apabila perintah itu disampaikan sendiri oleh Allah kepada Nabi SAW tanpa perantaraan malaikat Jibril.

Dengan kata lain, solat adalah penentu utama kejayaan seseorang Muslim itu di akhirat kelak. Jika solatnya sempurna maka mudahlah baginya melepasi mahkamah Allah kelak. Ia sebagaimana hadis Nabi SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya amal yang mula-mula sekali dihisab pada hari kiamat ialah sembahyang seseorang, jika sembahyangnya diterima maka sesungguhnya beruntunglah dan berjayalah ia, jika sembahyangnya tidak diterima maka kecewa dan rugilah ia”. (Riwayat Tirmidzi)

Seperkara lagi, dalam berhadapan dengan masalah, kita sepatutnya mengadu dan mendapatkan bantuan Allah dengan cara menunaikan solat antaranya solat hajat dan solat istikharah. Ini adalah antara pengajaran daripada peristiwa Israk dan Mikraj yang perlu kita amalkan.

Israk dan Mikraj juga mengajar kita apabila berada dalam dukacita, bawalah diri melancong atau berjalan-jalan. Pendek kata, jika isteri atau anak-anak berada dalam kesedihan si suami hendaklah berusaha membawa mereka bersiar-siar di dalam atau luar negara. Mudah-mudahan hati akan kembali ceria dan gembira.

Sumber: Utusan Online