Hanya nafas tak sesak. Pandangan sesak. Pergerakan sesak. Senyuman sesak. Tawa sesak. gelisah sesak. Rasa sesak. Mati sesak. Hanya nafas saja tak sesak. Di mana lagi tidak ada yang tak sesak. Cerita-cerita sesak didengar telinga. Meski masuk di kiri keluar di kanan, cerita-cerita datang juga dan didengar telinga. Dibuang dan datang lagi. Mengapa agaknya cerita menjadi begitu sesak dan menyesakkan. Penting sangatkah hingga menjadi demikian?
Pintu yang selama ini tertutup mulai terbuka. Terpancarlah segala yang bersembunyi. Meskipun tidak seluruh alam yang tersembunyi itu, namun jelas keterbukaan bilah-bilah pintu mengatakan tak perlu disembunyikan lagi. Daripada sifat-sifat mahmudah sampailah kepada sifat-sifat mazmumah. yang paling tinggi dan yang paling bawah. Yang baik dan yang paling tidak baik. Membuak bak bah darah selepas kulit tipis dan isi tubuh diradak mata pisau yang rakus. Anehnya darah yang membuak deras daripada urat-urat isi tubuh itu tidak merah seperti sedia kala bahkan berwarna-warni, malah lebih nyata warna adalah hitamnya!
Ngeri juga darah hitam sesudah mulai merawikan kalbu. Sudah begitu berlaku kalbu diintimi otak, mekanisme minda termahal tubuh dijanakan urat sarat urat saraf. Mulai bergetar kalbu itu mempengaruhi seluruh tubuh: mata menangkap segalanya, memamah segala kejelitaan, mengoyak-rabak segala kepuasan nafsu, mengunyah segala kebingungan demi kebingungan, kebimbangan demi kebimbangan; kemudian sisa-sisa yang ada dalam liang matanya dihembuskan baunya di khalayak tanpa silu segan dan malu. Ketawalah terbahak-bahak selepas meranapkan segala jenis bahang api. Sekali lagi melumatkan kebencian, kebimbangan, kedunguan, kebodohan dan ketololan. Dan sejarah tubuh mulai lebur.
Di manakah rumah mahmudahmu? Semua saling berbicara – antara mulut-mulut, antara mata-mata, antara telinga-telinga dan antara kalbu-kalbu. Pemberontakan minda semakin jelas tercetus. Hanya baru disesakkan tekanan-tekanan menggila. Tidak logik dan masuk liang akal. Masih enggan digambarkan ketidaktentuan itu. Jalan kebenaran dinyatakan dalam segala macam retorik, teori, andai-andai dan ikon-ikon mimpi yang mulai memusatkan akal sebagai angan-angan melulu. Imej dan reputasi untuk tubuh.
Cermin hanya untuk tubuh lain bukan tubuh itu sendiri. Hanya tubuh lain lebih tinggi mazmumahnya dan rendah mahmudahnya. Dibetulkanlah yang rendah itu yang banyak salahnya atau sedikit kelebihannya. Walaupun sedikit benarnya tetapi jika boleh dimilikkerbaukan, yang boleh diheret ke sana-sini, yang boleh mentaati suruhan-suruhan. Maka dipandirkanlah juga si pesalah itu. Malangnya yang salah tidak dibenari kebenarannya kerana tubuh itulah saja yang lengkap, yang tinggi mahmudahnya dan rendah mazmumahnya, yang betul, yang salah , yang warak, yang bijaksana, yang bermata, yang berotak, yang bertelinga, yang berhidung, yang berkaki, yang bertangan, dan segalanya pasti lengkap.
Demi reputasi, menyesakkan kelancaran gerak yang lain lebih penting. Taman itu pun sudah mulai sirna harmoni dan damainya. Keceriaan sudah tidak ceria. Hantu-hantu bisu sudah menyelinap dalam jasad mengubah tubuh-tubuh. Daun-daun pada taman hijaunya berwarna baru dan gugur meski mekar. Seakan tidak ada maya meneruskan perjuangan. Ingin juga mendapatkan sayap untuk terbang jauh di mana-mana.
Derap kemerdekaan mulai dirantai. Merdeka yang tidak bebas ditafsirkan dalam kepelbagaian jenama kuasa. Apakah ertinya merdeka ini jika tidak bebas menyatakan kebenaran. Buah benar yang tersergam pada pohon minda menjadi pameran ala kadar. Lontaran-lontaran fikir terbiar melata, terbang jauh ditiup angin hipokrit dan ketololan. Semuanya dipersalahkan. Kebenarannya, benarkah? Detak jantungnya, benarkan? Langkah-langkahnya benarkah? Ya, langkah-langkah fikir dan kalbu hitamnya, benarkah? Hsyyy, tersentak juga jika dapat membolosi sukma tubuh itu. Menjadi api dalam sekam. Menggubah dan merubahnya menjadi sesuatu, pohon yang tumbuh melata atau seekor keldai!
Kerana hanya sifat kekeldaian sesuai buat tubuh itu. Kerana dia mengkeldaikan tubuh-tubuh lain. Dia berada di atas selepas bertandang pada otak kepalanya yang sedikit sekali rumput, suarnya yang menyakitkan telinga, bibirnya bijak berkata-kata. Diherdiknya menjadi haru biru taman itu. Hidupan seperti dinyatakan segala mergastua. Hampir enggan hidup mengharmonikan taman sambil kedengaran omelan-omelannya tentang warna taman mesti diubah, diceriakan, diperhalusi. Disenaraikanlah omelannya segala macam reformasi. Reformasi apa yang diakhiri pemenjaraan yang panjang dan berliku hingga memungkinkan tidak mengenal apa-apa lagi. Reformasi harus benar jika ia dilahirkan bersama ketakengganan bermuhasabah. Segalanya. Membuang jauh sempit fikir kerana itulah penyebab sesak kebenaran. Pemikiran yang sempit menciptakan ruang dalam dan kehancuran.
Itu dia, siapakah suara itu berani bermadah bicara buat tubuh yang munafik, memalsukan kehidupan putihnya. Segala kepura-puraan. Hipokrit. Skandal begitu menggilakan. Taman ini kini dipijak-pijak oleh skandal mengilhami sang jelita. Tubuh itu kian mara untuk marah, sambil bijak memilih-milih seperti bijaknya bermuka-muka. Talam dwiwajah dan ular dwikepala. Menggilai senyuman Maya, tubuh seperti ayam jantan yang berkokok gagah, merdu dan jaguh tetapi tahinya sendiri bergelumang di ekornya. Pohon skandal mulai bertunas dan bakal menjadi benih yang akan dicambah sebar oleh angin lalu merebak ke seluruh negeri dan wilayah bangsa-bangsa. Akan kelihatan betapa suburnya pohon skandal tumbuh subur di taman agung yang dikenali sebagai adil, cekap dan telus itu. Gembar-gembur kemahmudahannya mulai ditanyai.
Tak ada jawapan juga. Biarkan saja soalan-soalan itu, jika wajar dibayar oleh diam-diam ubi. Penggali pun diam dalam karatnya. Sampai bila-bila juga, biarkan pohon itu membesar, membesar sambil merasakan mungkin, pujian-pujian yang akan mendatang. Pujian-pujian ubi daripada pohon skandal yang dibajai sifat-sifat mahmudah hipokrit, segala macam ancaman momokan-momokan.
Utusan Borneo, 18 Oktober 2000.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan